KUALA LUMPUR 17 Jan - Sarawak Oil Palms Bhd menyasarkan perolehan RM1.5 juta apabila produk utama mereka, AvantHealth Avtriee Tocotrienols, mula dipasarkan di China.
Ketua Pegawai Operasi Sarawak Oil Palms, Eric Kiu Kwong Seng berkata, produk tokotrienol premium yang dihasilkan oleh anak syarikat mereka, Avanstar International Sdn Bhd, berjaya menembusi kebanyakan platform e-dagang China bermula bulan ini.
"Kami menyasarkan jualan sekitar 10,000 botol AvantHealth Avtriee tahun ini.
"Kami berbangga dapat memperkenalkan produk Malaysia yang berkualiti tinggi ke pentas global, bermula dengan langkah penting ini ke pasaran China," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan penghantaran pertama AvantHealth Avtriee dari Malaysia ke China, di sini, semalam seperti laporan The Borneo Post.
Tokotrienol, sejenis vitamin E yang banyak terdapat dalam minyak sawit, mempunyai manfaat kesihatan yang tinggi, termasuk mengurangkan keradangan dan bertindak sebagai antioksidan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, penghantaran AvantHealth Avtriee Tocotrienols ke China semalam, mencerminkan usaha untuk mengangkat industri minyak sawit Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, melangkaui penggunaan tradisionalnya.
“Menerusi kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China serta syarikat-syarikat, Pentadbiran Am Kastam China telah memberikan kelulusan penuh pada Mac 2024 untuk tokotrienol digunakan dalam pembuatan makanan di China.
"Kerjasama antara kumpulan Sarawak Oil Palms, BOCE Trade Service Co Ltd dan Hong Kong Xintian Post Trading Ltd merupakan contoh cemerlang pakatan strategik yang boleh mengangkat minyak sawit Malaysia ke pengiktirafan global," katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau berkata, kementerian komited untuk memajukan industri minyak sawit Malaysia melangkaui penggunaan tradisional, dengan mengutamakan inovasi, kemampanan dan penciptaan nilai.
"Produk bernilai tinggi seperti Avtriee Tocotrienols menunjukkan potensi minyak sawit sebagai sumber semula jadi yang serba guna dan mampan.
"Penglibatan proaktif kita dengan pasaran antarabangsa terutamanya China, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global yang dipercayai dalam pengeluaran minyak sawit mampan dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi serta perkongsian antarabangsa," ujarnya. - DagangNews.com