Binastra terima kontrak RM256.5 juta daripada Exsim Jalil Link bagi kerja-kerja kejuruteraan pusat data di Bukit Jalil | DagangNews Skip to main content

Binastra terima kontrak RM256.5 juta daripada Exsim Jalil Link bagi kerja-kerja kejuruteraan pusat data di Bukit Jalil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Nov - Binastra Corp Bhd menerima kontrak RM256.5 juta daripada Exsim Jalil Link Sdn Bhd bagi kerja-kerja pemasangan sistem mekanikal dan elektrikal bagi sebuah pusat data di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu melibatkan reka bentuk, pembinaan, penyiapan, ujian dan pentauliahan kerja-kerja kejuruteraan.

 
Projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa 1 disasarkan untuk siap dalam tempoh sembilan bulan, dan fasa 2 dalam tempoh 24 bulan dari tarikh permulaan, yang masih belum ditentukan.

 

Mengulas mengenai kontrak baharu, Pengarah Urusannya, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, peralihan daripada pembinaan tradisional kepada menjalankan kerja-kerja kejuruteraan mekanikal dan elektrikal khusus di tengah-tengah ledakan pusat data mencerminkan keyakinan pelanggan.

 

"Dengan kontrak ke-12 ini, kumpulan komited meningkatkan kepakarannya dan berkembang ke pelbagai subsektor bagi membuka kunci kejayaan baharu dalam industri pembinaan.

 

"Kami berharap untuk menyampaikan lebih banyak berita baik dalam masa terdekat sambil kumpulan berusaha ke arah yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sehingga kini, Binastra telah memperoleh RM2.7 bilion dalam kemenangan kontrak baharu untuk tahun kewangan berakhir Januari 2025, menjadikan jumlah buku pesanan tertunggaknya kepada RM3.5 bilion. - DagangNews.com