KUALA LUMPUR 14 Jun - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) melancarkan pameran ‘Laluan Galeri’ sebagai sebahagian daripada sambutan sempena ulang tahun ke-50nya hari ini di lobi ibu pejabat BPMB di Jalan Sultan Ismail, di sini.
Pameran tersebut juga sebahagian daripada pelbagai aktiviti sepanjang tahun yang dijalankan bagi menyambut ulang tahun BPMB, yang mana mempamerkan evolusi bank dan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia selama lima dekad.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Roni Abdulwahab berkata, pameran ini memaparkan kisah dan perjalanan DNA BPMB, menggambarkan warisan Bank Pembangunan dan Bank Industri.
"Sepanjang perjalanan ini, BPMB sentiasa didokong warga BPMB yang nekad untuk melakukan yang terbaik untuk negara.
"Setiap warga di BPMB juga membawa amanah yang sama, untuk melakukan perkara yang terbaik bagi masa depan negara kita.
"BPMB akan terus memastikan pembangunan negara dijalankan secara seimbang, dengan menekankan pendekatan yang mampan dan inklusif," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Kementerian Kewangan dan Pengerusi sementara BPMB, Datin Rashidah Mohd Sies berkata, BPMB telah berkembang mengikut tuntutan negara yang berkembang, melayani semua rakyat Malaysia dan memberi keutamaan kepada pertumbuhan ekonomi utama.
Turut hadir pada pelancaran itu, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif BPMB, Othman Abdullah; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif BPMB, Rosnah Kamarul Zaman; Pengarah Bebas Bukan Eksekutif BPMB, Tan Sri Rashpal Singh Randhay dan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shamsul Azri Abu Bakar.
BPMB ditubuhkan pada 28 November 1973 dengan matlamat asal untuk membangun dan mempercepatkan penyertaan aktif Bumiputera dalam sektor industri.
Sejak itu, BPMB telah berkembang mengikut keperluan negara yang membangun, melayani semua rakyat Malaysia dan memberi keutamaan kepada sektor-sektor pertumbuhan ekonomi utama selaras dengan Pelan Malaysia yang berterusan.
Etos BPMB mencerminkan konsep Malaysia MADANI yang memberi tumpuan kepada tadbir urus yang baik dan pembangunan mampan.
Sejak 50 tahun lalu, BPMB memainkan peranan penting dalam menyokong beberapa projek infrastruktur yang paling penting di Malaysia, termasuk Menara Berkembar Petronas, ERL, Terowong SMART, dan Lebuhraya SPRINT,
Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) dan Lebuhraya Bertingkat Damansaea-Shah Alam (DASH).
Bank ini menilai setiap projek melalui rangka kerja penilaian impaknya, 'Measuring Impact on National Development (MIND)', untuk memastikan elemen kelestarian dan inklusiviti diberi perhatian yang sewajarnya.
Sementara itu, BPMB menunjukkan inklusiviti melalui kerjasama dengan seorang artis istimewa, ARTJAMILA, yang karyanya disertakan dalam bahan pemasaran khas sambutan ulang tahun ke-50 bank ini, untuk memberi pendedahan kepada kreasi halus dan rumit beliau.
Sambutan Jubli Emas BPMB sepanjang setahun ini akan merangkumi pelbagai aktiviti, diikuti dengan satu persidangan pada akhir tahun ini untuk membantu menentukan hala tuju bank untuk 50 tahun akan datang dan seterusnya.
Pameran ini akan dibuka untuk umum dari hari ini sehingga November 2023. Pengunjung dijemput untuk meneroka pameran tersebut bagi menyelami cerita menarik yang memaparkan perjalanan bank ini. - DagangNews.com