Bank Pembangunan terbit RM1.25 bilion di bawah Sukuk Wakalah | DagangNews Skip to main content

Bank Pembangunan terbit RM1.25 bilion di bawah Sukuk Wakalah

 

 

KUALA LUMPUR 1 Jun - Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) berjaya menetapkan harga dengan persetujuan pembeli dan penjual (book building) bagi penerbitan nota jangka sederhana Islam bernilai RM1.25 bilion di bawah program Sukuk Wakalah.

 

BPMB telah melepasi jumlah terbitan sasaran awalnya sebanyak RM750 juta dan mencatatkan senarai tempahan (order book) akhir RM3.34 bilion atau nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) 4.45 kali (prapeningkatan) dan 2.67 kali (pasca peningkatan).

 

Katanya, tindak balas positif daripada pelbagai pelabur termasuk institusi kewangan, pengurus aset, dana pencen dan syarikat insurans adalah bukti akan profil kredit BPMB yang kukuh dan peranan strategiknya dalam pembangunan negara.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPMB, Arshad Mohamed Ismail berkata, bank itu akan terus bekerja keras dalam memacu pertumbuhan yang inklusif dan berterusan menyokong agenda pembangunan negara.

 

"BPMB berbesar hati di atas kepercayaan pasaran terhadap asas dan hala tuju strategi bank yang kukuh berikutan kejayaan penerbitan kedua di bawah program Sukuk Wakalah," katanya.

 

Ambank, CIMB, Maybank dan RHB bertindak sebagai Pengurus Utama Bersama dalam tawaran ini sementara CIMB Islamic dan Maybank Islamic bertindak sebagai Penasihat Syariah untuk transaksi berkenaan.

 

Sejajar dengan agenda pembangunan negara, BPMB turut melaksanakan kerangka Measuring Impact on National Development (MIND) dan kini tertumpu pada kedua-dua petunjuk impak kewangan dan bukan kewangan.

 

Menerusi MIND, projek BPMB dinilai berdasarkan kesan kewangan dan juga sosial atau persekitarannya. - DagangNews.com