Bank Wakaf Digital perkasa transformasi ekonomi dan masyarakat | DagangNews Skip to main content

Bank Wakaf Digital perkasa transformasi ekonomi dan masyarakat

Oleh MOHD GHAZALI MD NOOR

 

 

DALAM meniti tahun ke-64 kemerdekaan, adalah wajar kita mengambil tanggungjawab bersama untuk mewariskan sebuah negara yang makmur dan sejahtera untuk kesinambungan generasi akan datang khasnya dari segi kesejahteraan sosio-ekonomi.

 

Namun, memandangkan situasi ketidaktentuan  ekonomi  global dan pandemik COVID-19, apakah langkah bijak atau strategi ‘game-changer’ untuk memperkasa individu, keluarga dan komuniti yang kurang bernasib baik di seluruh Malaysia?

 

Seawal kemerdekaan, usaha berterusan untuk mengukuhkan ekonomi rakyat telah dilaksanakan menerusi pelbagai cara. Pada tahun 60an, Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji) telah melakar sejarah dengan membuka kaunter penerimaan tabungan daripada bakal haji.

 

Umat Islam Malaysia telah dididik untuk membuat tabungan sejak usia muda dengan organisasi patuh syariah sebagai persiapan menunaikan haji. Seterusnya, penubuhan Amanah Saham Nasional seawal pertengahan tahun 1979 sehingga kini, telah mewujudkan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

 

Di era digital ini, bank wakaf digital mampu menjadi platform kewangan Islamik terbaru di Malaysia melalui penawaran perkhidmatan asas bank digital patuh syariah. Sistem bank wakaf digital dijangkakan akan membantu memupuk kestabilan sistem kewangan melalui institusi wakaf dengan memaksimumkan sumber dan kepakaran kewangan Islam sedia ada di Malaysia dalam pengurusan, kewangan, pelaburan, teknologi, pengurusan risiko dan kepatuhan syariah.

 

Wakaf merupakan pemberian berbentuk harta benda, wang tunai atau tanah untuk tujuan yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam dan boleh digunakan untuk membangunkan ekonomi ummah. Sistem yang telah wujud sejak awal perundangan Islam ini memainkan peranan dalam kelestarian ekonomi. Seiring dengan peredaran masa, kini wakaf tidak hanya difokuskan untuk tujuan ibadah malah turut dipraktikkan bagi memenuhi keperluan ummah sejagat melalui konsep Waqf Korporat oleh AWQAF Holdings Berhad.

 

Konsep Waqf Korporat telah membuka dimensi baru di dalam pengurusan aset-aset wakaf terutamanya wang tunai dan saham dengan penglibatan institusi korporat berteraskan amalan akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme. Ia merupakan inovasi yang mengintegrasikan institusi wakaf Islam secara langsung ke dalam sistem pembangunan ekonomi negara yang dipacu oleh sektor korporat.

 

Berlandaskan konsep keseimbangan sistem ekonomi, Waqf Korporat membuka ruang kepada masyarakat bagi menikmati manfaat yang saksama daripada perkembangan sektor korporat negara. Waqf Korporat turut bertindak sebagai sebuah institusi berasaskan komuniti atau community-driven yang menggerakkan sumber-sumber komuniti dan menjadi peneraju utama menjayakan perniagaan mapan milik komuniti.

 

Peranan sektor swasta adalah elemen penting dalam pengukuhan ekonomi negara melalui sistem wakaf, khususnya Waqf Korporat. AWQAF Holdings Berhad (AWQAF) adalah institusi Waqf Korporat yang ditubuhkan untuk memperkasa peranan wakaf sebagai penggerak ekonomi dan memastikan kesejahteraan umat secara menyeluruh.

 

Semua pegangan harta milik AWQAF adalah bersifat aset atau harta wakaf yang mana pemilikan amanah Wakaf Korporat dipegang oleh AWQAF bagi pihak masyarakat Muslim khasnya. Tidak dapat dinafikan, sumber modal wakaf masyarakat dan komuniti Muslim khasnya dapat digembleng untuk menambah nilai ekonomi ke arah pertumbuhan ekonomi, menangani kemiskinan dan mengekalkan kemakmuran masyarakat. Ini akan merangsang sektor keusahawanan dan meningkatkan peluang- peluang pekerjaan untuk manfaat masyarakat secara holistik.

 

 

MOHD GHAZALI MD NOOR
MOHD GHAZALI MD NOOR

 

 

Selaras dengan hasrat untuk terus memartabatkan industri wakaf negara, AWQAF sedang merangka pelan tindakan bagi memperolehi lesen perbankan digital yang ditawarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tujuan menubuhkan Bank Wakaf Digital. Baru-baru ini, BNM telah mengumumkan inisiatif lesen perbankan digital yang bakal disalurkan kepada lima (5) institusi yang layak bagi menggalakkan sistem kewangan yang progresif dan inklusif.

 

Inisiatif ini adalah kesinambungan dari pengumuman BNM bagi pelaksanaan Dasar Kerangka Perlesenan Bank Digital. pada bulan Disember 2020. Dasar ini dijangka dapat memperkenalkan aplikasi teknologi yang inovatif dan menyumbang kepada kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia khususnya untuk memenuhi keperluan masyarakat secara menyeluruh.

 

Di antara pendekatan yang telah diambil oleh AWQAF setakat ini adalah membentuk sebuah konsortium bersama-sama dengan dua (2) organisasi lain bagi melaksanakan permohonan lesen perbankan digital tersebut. Konsortium yang diterajui oleh AWQAF ini berhasrat untuk memiliki salah satu daripada 5 lesen bank digital yang bakal disalurkan oleh BNM kepada pemohon yang berkelayakan menjelang suku pertama 2022.

 

AWQAF Holdings Berhad berharap BNM menyediakan peruntukan khas sekurang-kurangnya satu lesen bank digital patuh syariah untuk membolehkan penubuhan Bank Wakaf Digital atas nama Awqaf Islamic Digital Bank. Pembentukan Awqaf Islamic Digital Bank ini amat penting memandangkan struktur pemilikan dan atur cara korporat perlu membabitkan institusi wakaf yang ada di Malaysia, yang ketika ini bersifat 'decentralized' dan tiada keharmonian dari aspek amalan.

 

Objektif penubuhan Awqaf Islamic Digital Bank ini adalah untuk mencapai keterangkuman kewangan (financial inclusion), yang mana ia akan memberi pembaharuan baru kepada sistem ekonomi perbankan yang lebih memfokuskan kepada pembangunan ekonomi tanpa mengabaikan kesejahteraan komuniti, tugas dan kewajipan kepada masyarakat, serta keadilan bagi pengagihan harta. Bank digital adalah manifestasi transformasi ekonomi yang sedang berlaku dan seluruh lapisan masyarakat harus sedar kepentingan perkembangan ini.

 

Sistem perbankan digital yang menggabungkan amalan wakaf akan membolehkan semua yang terbabit dalam sistem kewangan Islam yang berteknologi tinggi dan melaksanakan amalan wakaf dengan cara yang lebih sistematik, efisien, mudah dan selamat. Dengan memaksimumkan sumber dan kepakaran kewangan Islam sedia ada di Malaysia dalam pengurusan, kewangan, pelaburan, teknologi, pengurusan risiko dan kepatuhan syariah, ia boleh membantu meningkatkan prestasi wakaf pelaburan ke tahap yang lebih tinggi.

 

Awqaf Islamic Digital Bank  boleh menghasilkan perkhidmatan asas bank digital yang patuh syariah seperti simpanan deposit dan perkhidmatan pinjaman. Pihak bank boleh menggunakan harta wakaf untuk terbabit dalam usaha pembangunan hartanah, usaha komersial dan e-niaga yang boleh menghasilkan pulangan yang lebih tinggi dan memberikan lebih banyak pilihan kepada pemberi wakaf tentang bentuk dan mandat pengurusan wakafnya.

Bagi memastikan Wakaf Korporat terus relevan dalam membantu peningkatan sosio-ekonomi umat Islam dalam pelbagai  sektor  seperti   pendidikan, kesihatan  dan  sosial berikut adalah prinsip – prinsip yang perlu diutamakan.

 

1.         Penubuhan Wakaf Korporat hendaklah mengikut saluran perundangan terutamanya dengan pihak berautoriti wakaf negeri-negeri bagi menjamin kemampanan dan kesinambungannya;

2.         Aspek tadbir urus korporat wakaf tunai seperti akauntabiliti, ketelusan dan profesionalisme perlulah dijaga dan dipertingkatkan bagi meningkatkan kepercayaan (trust) dan keyakinan masyarakat kepada institusi wakaf;

3.         Pelaporan kewangan secara berkala seperti Laporan Tahunan dan laporan - laporan berkaitan perlu mengikut keperluan semasa institusi wakaf;

4.         Aspek penyampaian perkhidmatan (service delivery) terbaik seperti penerimaan aset wakaf melalui atas talian boleh diaplikasikan;

5.         Penyaluran manfaat wakaf perlu dilaksanakan dengan pendekatan yang efektif dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat; dan

6.         Manfaat wakaf yang dihasilkan melalui aset Wakaf Korporat boleh diperluaskan kepada pelbagai sektor dan pembiayaan fasiliti-fasiliti awam.

 

Dalam era pasca Covid-19, insya-Allah Bank Waqaf Digital dapat memperkasa ekonomi untuk mencapai keterangkuman kewangan (financial inclusion). Ini dapat memberikan sinar baharu kepada sistem ekonomi perbankan negara selaras dengan era digitalisasi yang memberi impak kepada semua sektor. - DagangNews.com

 

Datuk Dr. Mohd Ghazali Md Noor merupakan Pengarah Bebas AWQAF Holdings Berhad