Bajet 2025: BIMB Securities jangka defisit fiskal Malaysia rendah pada 3.5% | DagangNews Skip to main content

Bajet 2025: BIMB Securities jangka defisit fiskal Malaysia rendah pada 3.5%

KUALA LUMPUR 18 Sept - BIMB Securities menjangkakan defisit fiskal yang lebih rendah sebanyak 3.5% sejajar dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk Bajet 2025.

 

Katanya, di bawah RMK-12, kedudukan imbangan fiskal Malaysia diramalkan berubah lebih rendah pada jajaran 3.5% hingga 3% menjelang 2025, sambil menambah pengurangan itu mungkin disebabkan perbelanjaan pembangunan yang lebih rendah (DevEx).

 

“Selepas mencatatkan lebih daripada RM90 bilion DevEx dalam tempoh dua tahun lalu, kami menjangkakan DevEx berada pada RM78.3 bilion menjelang 2025,” katanya dalam atu nota kajian, lapor Bernama.

 

Kerajaan telah memulakan langkah bagi mengurangkan perbelanjaan mengurus (OpEx) melalui inisiatif rasionalisasi subsidi, antara langkah lain, tetapi garis masa rasionalisasi subsidi RON95, yang mewakili sebahagian besar daripada jumlah subsidi, masih tidak menentu.

 

“Kami percaya sebarang perubahan dalam subsidi petrol adalah sensitif khususnya kerana ia menjejaskan kos sara hidup dan tekanan inflasi.

 

“Sebaliknya, terdapat tekanan menaik terhadap OpEx, terutamanya dengan kenaikan gaji kakitangan awam yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.

 

Mengurangkan OpEx adalah satu kaedah untuk menangani deficit fiskal tetapi ini menimbulkan cabaran kepada kerajaan, sementara mengehadkan DevEx boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi keseluruhan dalam jangka sederhana dan panjang.

 

Namun, ia tidak menjangkakan cukai penggunaan baharu dalam Bajet 2025 akan datang.

 

“Memandangkan rang undang-undang cukai barang dan perkhidmatan telah dimansuhkan pada 2018, rang undangundang cukai penggunaan baharu perlu dibentangkan di Parlimen,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, defisit fiskal Malaysia diunjurkan lebih rendah daripada 2% di bawah empat senario yang berpotensi seperti tiada cukai penggunaan baharu serta pengurangan sebahagian daripada subsidi bahan api; tiada cukai penggunaan baharu dan pemotongan sepenuhnya subsidi bahan api; cukai penggunaan baharu manakala status quo subsidi RON95 kekal dan cukai penggunaan baharu dengan pengurangan penuh subsidi bahan api.

 

"Sejumlah 5% daripada cukai penggunaan akan meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM16 bilion selain menurunkan defisit fiskal kepada 2.3%," katanya.

 

Bajet 2025 diunjurkan akan terus menangani isu-isu makroekonomi serta mikroekonomi, menyediakan sokongan tunai langsung kepada kumpulan yang terdedah, menangani cabaran pendidikan termasuk penjagaan kesihatan selain menawarkan insentif bagi rumah mampu milik dan pembeli rumah kali pertama.

 

Dengan jangkaan pelancaran kenderaan elektrik (EV) buatan tempatan pada 2025, BIMB Securities meramalkan Bajet 2025 akan mempunyai rebat tunai khusus untuk meningkatkan penguasaan EV dalam pasaran kereta penumpang Malaysia.

 

“Selain itu, sokongan fiskal serta suntikan untuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) akan diteruskan dan diperluaskan,” katanya.

 

BIMB Securities juga percaya Belanjawan 2025 akan memperincikan projek berterusan yang digariskan dalam Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030), manakala butiran projek-projek yang berpotensi akan disebut dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan dasar fiskal akan datang.

 

PIKAS 2030, yang menampilkan 37 projek sedang berjalan serta 41 projek berpotensi, akan terus memastikan firma-firma pembinaan sibuk sepanjang dekad akan datang.

 

“Pembangunan rel berkelajuan tinggi, Melaka International AeroCity Hub serta Lebuhraya Kuantan-Singapura adalah antara projek berpotensi utama selepas 2025 yang kami percaya akan memberi kesan kepada pembinaan dan keluaran dalam negara kasar Malaysia,” katanya.- DagangNews.com