KUALA LUMPUR 14 Jan - Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid yang bakal memasuki tahun dua hingga tingkatan lima pada 21 Mac 2022 bagi sesi persekolahan 2022/2023 akan dilaksanakan bermula Isnin minggu hadapan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan, murid tahun satu hingga tingkatan empat dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang sedang dalam sesi persekolahan bagi 2021/2022 layak untuk menerima bantuan tersebut.
Jelasnya, bagi murid tahun satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai.
"Bagi sesi persekolahan 2022/2023, kerajaan bersetuju meningkatkan kadar BAP kepada RM150 untuk seorang murid berbanding RM100 sebelum ini.
"Manfaat bantuan ini akan diterima seramai tiga juta penerima BAP dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah," menurut kenyataan tersebut hari ini.
Menurut KPM, pemberian BAP akan dibuat secara tunai atau dikredit ke akaun bank murid yang mempunyai akaun bank.
"Sekiranya pemberian secara tunai, pengagihan akan dilaksanakan di sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.
Tambah kenyataan itu, KPM yakin pemberian BAP dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan bagi sesi akademik 2022/2033.
"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, KPM telah menerima peruntukan BAP bagi tahun 2022 sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2022.
"Alhamdulillah, kadar BAP tahun ini telah dinaikkan kepada RM150 bagi setiap penerima. KPM menyedari terdapatnya keperluan ibu bapa atau penjaga untuk membuat persiapan awal anak-anak, khususnya bagi memulakan sesi persekolahan 2022/2023 pada 21 Mac 2022.
"Oleh yang demikian, pemberian BAP bagi sesi persekolahan 2022/2023 kepada murid akan mula diagihkan pada 17 Januari ini. Agihan ini dibuat lebih awal bagi membolehkan persiapan untuk anak-anak dapat dibuat sebelum sesi persekolahan baharu bermula," katanya menerusi Facebook hari ini. - DagangNews.com