Bantuan bencana alam dinaikkan kepada RM1,000 kepada ketua isi rumah - PM | DagangNews Skip to main content

Bantuan bencana alam dinaikkan kepada RM1,000 kepada ketua isi rumah - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) pada majlis penyampaian peruntukan bantuan bencana Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang diwakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (kiri) di Kota Kinabalu, hari ini. - Gambar PMO

 

 

KOTA KINABALU 16 Sept - Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) yang  dipengerusikan oleh Perdana Menteri bersetuju menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau yang terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh JPBP.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob berkata, keputusan menaikkan kadar bantuan ini, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat  pandemik COVID-19.

 

Beliau berkata, inisiatif Bantuan Wang Ihsan ini dijangka akan meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada  Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

 

Menurutnya, pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk  mengurangkan beban yang ditanggung.

 

''Ini antara pendekatan baharu yang diambil oleh kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal November 2021 sehingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak.

 

''Dalam lawatan kerja rasmi saya ke Sabah pada hari ini, saya memgumumkan Peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)  kepada Sabah, berjumlah RM18,241,250.00 bertujuan melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa dipelihara,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, peruntukan ini adalah bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000.00), Pembelian 2,500 unit C-Tent(RM961,250.00), Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri(RM20,000.00), Operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1,100,000.00) dan Pengurusan operasi COVID-19 di negeri sabah(RM16,000,000.00).

 

''Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam. Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,'' kata beliau.

 

Ismail Sabri berkata, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana Monsun Timur Laut sepanjang  tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

 

 

PM
ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan replika cek bernilai RM18.2 juta sebagai peruntukan persediaan bencana negeri Sabah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. - Gambar PMO

 

 

Selain itu, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan ialah:


 i. Pembangunan Sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana. Bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.


 ii. Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas.

 

Pada masa yang sama, Perdana Menteri menasihatkan agar semua pihak yang terlibat supaya konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan  pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing-masing.

 

Menurutnya, semua agensi terlibat juga perlu menggunakan dan berkongsi segala aset yang sedia ada di negeri masing-masing dengan melibatkan badan-badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan serta individu-individu di peringkat tempatan, agar sama-sama dapat menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia.

 

''Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk terhadap jiran dan rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh nanti, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,'' kata Perdana Menteri. - DagangNews.com