KUALA LUMPUR 24 Sept. - Peminjam di Malaysia yang mendapatkan bantuan bagi penyusunan semula pembayaran balik pinjaman sepanjang tempoh wabak COVID-19 tidak akan berdepan dengan sebarang risiko.
Perkara itu adalah termasuk risiko disenarai hitam atau menjejaskan permohonan terhadap pinjaman baharu.
Industri perbankan tempatan memaklumkan, bank tempatan memberi jaminan kepada peminjam bahawa profil kredit atau laporan kredit dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS) tidak akan direkodkan negatif sekiranya peminjam mendapatkan bantuan pembayaran tersebut.
Maklumat dalam laporan kredit melalui sistem CCRIS biasanya akan digunakan oleh pihak bamk untuk memutuskan permohonan pinjaman atau membuat penilaian kelayakan kredit peminjam yang ada.
Ketua Perbankan Runcit Kumpulan RHB Bank, Rakesh Kaul berkata, bank-bank di Malaysia telah melakukan usaha yang belum pernah dibuat sebelum tempoh wabak dengan menghubungi semua peminjam yang mungkin memerlukan bantuan pembayaran pinjaman mereka termasuk melalui media sosial.
"Peminjam termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan masyarakat lain mungkin merasakan frofil kredit CCRIS mereka akan terkesan jika mereka meminta bantuan pembayaran balik pinjaman.
"Saya rasa mereka akan fikir sedemikian jika mereka mengambil bantuan itu dengan ramalan risiko mereka tidak akan dapat membuat pinjaman yang lain atau memberi kesan kepada kemudahan pinjaman lain," katanya pada sesi meja bulat bersama ketua-ketua bank terpilih dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) semalam, seperti dipetik Malay Mail.
Tambah beliau lagi, pihaknya akan terus berusaha untuk memberi masej sebenar dan mengelak kesalahfahaman tersebut daripada berterusan.
Beberapa PKS juga berkemungkinan enggan hadir ke bank kerana berpendapat bantuan pembayaran balik pinjaman itu tidak berlangsung dalam bentuk yang standard seperti gadai janji hartanah atau pinjaman sewa beli.
Namun menunjukkan tahap persetujuan tinggi 100% oleh RHB untuk PKS atau peminjam yang memohon bantuan pengaturan pembayaran pinjaman fleksibel. - DagangNews.com