Batik Air lancar penerbangan sulung dari KL ke Istanbul | DagangNews Skip to main content

Batik Air lancar penerbangan sulung dari KL ke Istanbul

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - Batik Air melancarkan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, Turkiye, baru-baru ini.

 

Penerbangan OD723 yang dihiasi dengan corak khas Batik Air, berlepas dari Terminal 1 KLIA pada jam 3.50 petang. Bagi memperingati istimewa itu, penumpang yang menaiki penerbangan sulung tersebut diberikan token penghargaan untuk perjalanan yang akan datang.

 

Pengarah Strategi Kumpulan Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pihaknya gembira untuk mengumumkan bahawa penerbangan sulung ke Istanbul beroperasi pada kapasiti penuh.

 

"Penerbangan ini bukan sahaja mengeratkan ikatan antara Malaysia dan Turkiye tetapi juga menandakan peristiwa penting dalam perjalanan Batik Air ke arah menghubungkan manusia dan budaya merentasi sempadan.

 

"Dengan pengenalan laluan baharu ini, kami berbangga dapat menyediakan penumpang meningkatkan pilihan untuk perjalanan antara Kuala Lumpur dan Istanbul dan dengan mengalu-alukan lebih ramai pelancong menaiki pesawat," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Majlis pelepasan itu turut dihadiri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri dan pegawai kanan dari Malaysia Airports (MAHB), yang menggariskan usaha kerjasama antara Batik Air dan KLIA dalam menjayakan penerbangan itu julung kali ini.

 

King Sing berkata, dari Januari hingga November 2023, Malaysia mengalu-alukan 15,623 ketibaan dari Turkiye, sebuah pertumbuhan positif sebanyak 10.8% berbanding tempoh yang sama pada 2019 dengan 14,096 ketibaan.

 

 

batik air

 

 

"Secara rasmi melepasi penanda aras pra-pandemiknya, Tourism Malaysia berazam untuk memupuk lebih banyak perkongsian pintar dan kerjasama dengan syarikat penerbangan antarabangsa untuk mencipta permintaan perjalanan daripada Turkiye," katanya.

 

Menurut syarikat penerbangan itu, ia adalah penerbangan terpanjang yang dikendalikan Batik Air ke persimpangan Asia dan Eropah melalui pesawat A330-300. 

 

 

batik air

 

 

Katanya, masa penerbangan ialah 11 jam dan 55 minit ke Istanbul dan 10 jam dan 50 minit untuk perjalanan balik.

 

"Penumpang boleh menikmati hidangan percuma yang lazat yang disediakan Batik Air's Inflight  Kitchen, bersama-sama dengan minuman semasa penerbangan. Bagi mereka yang inginkan makanan tambahan dan minuman, ia boleh dibeli di atas kapal semasa penerbangan," katanya.

 

batik air

 

 

batik air

 

 

Selain itu katanya, Batik Air menawarkan elaun bagasi sekurang-kurangnya 20 kilogram (kg) untuk kelas ekonomi dan sekurang-kurangnya 30 kg untuk kelas perniagaan. - DagangNews.com