PUTRAJAYA 22 Ogos - Kerajaan mewajibkan penjawat awam memakai batik setiap Khamis, berkuat kuasa 21 Ogos 2023.
Menurut pekeliling yang ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Zulkapli Mohamed yang diedarkan semalam, kerajaan bersetuju supaya semua penjawat awam persekutuan diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia untuk bekerja setiap Khamis.
Bagaimanapun, syarat tersebut dikecualikan bagi pekerja yang dibekalkan dengan pakaian seragam atau sedang menghadiri majlis rasmi dengan peraturan berpakaian tertentu.
Turut menggalakkan penggunaannya pada hari bekerja lain, pekeliling itu berkata ketetapan baharu itu bertujuan untuk terus menyokong industri batik Malaysia dan memastikan pengekalannya sebagai warisan dan simbol identiti rakyat Malaysia.
Ia seterusnya berkata bahawa dasar baharu itu tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, dengan pemakaian peruntukannya turut diperluaskan kepada semua perkhidmatan awam negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
“Berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan (baru) ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 Mengenai Penggunaan Pakaian Batik Malaysia bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan adalah dengan ini dibatalkan,” bunyi pekeliling itu. - DagangNews.com