Batu Kawan buat tawaran rasmi kepada CCM RM3.10 sesaham | DagangNews Skip to main content

Batu Kawan buat tawaran rasmi kepada CCM RM3.10 sesaham

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Batu Kawan Bhd. membuat tawaran rasmi untuk membeli kesemua saham Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM) yang tidak dimilikinya pada harga RM3.10 sesaham bernilai RM292.79 juta. 

 

Ini adalah harga yang perlu dibayar untuk memperoleh kepentingan 56.32% dari Permodalan Nasional Bhd. (PNB). 

 

Apabila pengambilalihan ini lengkap, pegangan Batu Kawan dalam CCM akan meningkat kepada 59.73% daripada 3.41% sebelum ini. 

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, tawaran harga RM3.10  mewakili premium antara 2.13% berbanding harga purata wajaran 5 hari (VWAMP) dan sehingga 77.88% lebih setahun VMAMP, sehingga harga saham terakhir RM3.05 Jumaat lalu.  

 

Pada 17 November lalu, PNB melupuskan keseluruhan pegangan saham yang dipegangnya dan dana unit amanahnya sebanyak 56.3% dalam CCM kepada Batu Kawan pada harga RM292.8 juta. 

 

Harga itu mewakili premium sebanyak 69% daripada harga saham purata berwajaran tiga bulan dan akan mencetuskan tawaran umum wajib oleh Batu Kawan untuk baki saham dalam CCM.

 

Batu Kawan mengesahkan yang kumpulan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk menerima tawaran tersebut. 

 

Syarikat menyatakan tawaran itu tidak akan gagal disebabkan kemampuan kewangan yang tidak mencukupi dan setiap pemegang yang ingin menerima tawaran akan dibayar sepenuhnya dalam bentuk tunai.

 

Malah, Batu Kawan yang memiliki Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) berhasrat untuk mengekalkan penyenaraian CCM di papan utama Bursa Malaysia. - DagangNews.com