Baucer e-tunai RM450,000 galakkan perbelanjaan domestik | DagangNews Skip to main content

Baucer e-tunai RM450,000 galakkan perbelanjaan domestik

Tourism Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Mac. - Kira-kira RM450,000 baucer e-tunai disediakan oleh agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) iaitu Tourism Malaysia bagi menjayakan kempen  'Shop and Be Rewarded'.

 

Kempen yang turut mendapat kerjasama Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK Malaysia) itu selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang diumumkan MOTAC bagi menggalakkan perbelanjaan domestik.

 

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kempen tersebut adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu merancakkan semula industri beli-belah Malaysia yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

"Kempen ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pada 26 sehingga 28 Mac 2021, di lebih 30 pusat beli-belah yang mengambil bahagian.

 

"Kempen promosi ini menawarkan baucar e-tunai, di mana setiap pembelian minimum RM50.00 akan melayakkan mereka untuk menerima diskaun sebanyak RM10.00 di pusat beli-belah dan peruncit yang mengambil bahagian dalam program ini.

 

"Sebagai sebuah persatuan yang mewakili pusat-pusat beli-belah di seluruh Malaysia, PPK Malaysia sedang giat berusaha untuk meningkatkan prestasi industri beli-belah yang terkesan berikutan impak pandemik COVID-19," katanya.

 

Nancy Shukri
Nancy Shukri.

 

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen tersebut di Pusat Beli Belah, Mahkota Parade, Melaka hari ini.

 

Baucer e-tunai dianggar berjumlah RM450,000 disediakan oleh Tourism Malaysia untuk ditebus sepanjang kempen berkenaan berlangsung. 

 

Beliau berkata, dengan tawaran tambahan oleh pusat beli-belah di sekitar Wilayah Tengah, Utara, dan Selatan yang mengambil bahagian, sekurang-kurangnya RM900,000 akan diberikan kepada rakyat Malaysia.

 

"Saya menyeru orang ramai mengambil peluang ini untuk membeli-belah, namun terus mematuhi SOP sedia ada yang ditetapkan oleh kerajaan serta menjalankan aktiviti dengan selamat dengan penuh tanggungjawab, selaras dengan amalan norma baharu," katanya lagi. - DagangNews.com