ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kebimbangan yang berlegar dalam kalangan pelabur susulan desas-desus perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih ketat menyebabkan dagangan di pasaran saham Malaysia sekejap turun dan naik.
Selepas menjunam lebih 20 mata sepanjang urus niaga semalam, indeks pasaran saham di Bursa Malaysia, FBM KLCI menokok 13.97 ketika dibuka pada 9 pagi ini.
FBM KLCI meningkat kepada 1,590.59 daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,576.62.
Rakuten Trade Research menjangkakan penjualan ekuiti semalam berlebihan, sehubungan itu FBM KLCI mampu melonjak semula hari ini.
“Ura-ura mengatakan perintah berkurung lebih ketat mencetuskan sentimen terhadap bursa tempatan memandangkan indeks penanda aras itu kehilangan 20 mata untuk melepasi paras sokongan 1,580.
“Bagaimanapun, kami percaya pelabur yang memburu saham murah akan meningkatkan indeks itu mungkin melebihi 1,590 hari ini,” ramal Rakuten Trade.
Antara kesemua konstituen KLCI, lima saham teratas yang susut semalam adalah Dialog Group Berhad, Petronas Chemicals Group Berhad, Press Metal Aluminium Holdings Berhad, Hap Seng Consolidated Berhad dan CIMB Group Holdings Berhad.
Situasi dagangan yang sama turut dirasai di Wall Street memandangkan ekuiti Amerika Syarikat (AS) meningkat sedikit susulan permulaan yang lemah.
Pelabur yang memburu saham murah melonjakkan kedua-dua S&P 500 dan Nasdaq untuk ditutup menghampiri rekod tertinggi.
“DJI Average yang jatuh lebih daripada 400 mata pada satu masa dagangan mengakhiri sesi itu dengan 37 mata lebih rendah pada paras 30,960,” tambah Rakuten Trade. - DagangNews.com