Bayar pampasan segera kepada semua bekas kakitangan Utusan - Johan Jaaffar | DagangNews Skip to main content

Bayar pampasan segera kepada semua bekas kakitangan Utusan - Johan Jaaffar

KUALA LUMPUR 29 Okt - Tokoh Wartawan NegaraTan Sri Johan Jaaffar menggesa pembayaran segera dibuat kepada bekas kakitangan syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS) susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Oktober baru lalu.

 

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nadzarin Wok Nordin memutuskan bahawa penerima VSS adalah benefisiari harta-harta amanah dan mereka bukan pemiutang UMMB. Oleh yang demikian mereka tidak terlibat dalam proses likuidasi dan berhak menerima manfaat daripada harta-harta yang dilabelkan sebagai amanah.

 

Dalam penghakiman beliau, Nadzarin juga mengisytiharkan 29 hartanah milik UMMB dan anak-anak syarikat UMMB termasuk Utusan Publications dan Distributor Sdn Bhd, U-Print Sdn Bhd, Utusan Land Sdn Bhd, Juasa Holdings Sdn Bhd dan Madiamony Sdn Bhd  adalah “harta amanah”.

 

Sebagai mantan Ketua Pengarang dan salah seorang Lembaga Pengarah UMMB (1992-1998), Johan berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Mahkamah itu.

 

Beliau menggesa pihak pelikuidasi yang diberikan amanah memastikan pekerja yang terlibat dalam VSS mendapat pampasan mereka secepat mungkin.

 

"Sebelum ini mereka telah menuntut pemilik baharu serta majikan menunaikan janji untuk melangsaikan bayaran baki VSS menggunakan dana hasil penjualan  hartanah milik UMMB.

 

"Saya juga berharap pada masa yang sama ratusan lagi pekerja UMMB yang diberhentikan (bukan mereka yang terlibat dengan VSS) akibat terhentinya operasi syarikat  berkenaan juga diberikan perhatian yang sama," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Kesemua mereka telah menanggung penderitaan yang luar biasa akibat diberhentikan tanpa pampasan yang sewajarnya. Sebahagian besar daripada mereka yang hilang mata pencarian hidup dalam keadaan yang sangat mencabar beberapa tahun kebelakangan ini.


 

utusan
Dato' Abd. Aziz Sheikh Fadzir (tiga dari kanan) merupakan Pengerusi Eksekutif terakhir UMMB semasa syarikat ditutup mendadak pada 9 Oktober 2019.

 


"Saya berdukacita bahawa syarikat yang bermula pada tahun 1939 dan yang bertanggungjawab menerbitkan akhbar yang dianggap suara keramat orang Melayu telah terhenti operasinya pada tahun 2019,".

 

Menurut beliau, akhbar dan majalah terbitan UMMB telah menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa Melayu dan negara Malaysia.

 

Selama 80 tahun, akhbar dan majalah terbitan UMMB telah menjadi perakam sejarah negara bangsa yang bangga ini.

 

"Sumbangan para wartawan dan petugas UMMB harus sentiasa dihargai.

 

"Apa yang berlaku pada mereka selepas penutupan syarikat adalah sejarah getir dunia kewartawanan negara, khususnya kewartawanan Melayu," kata Johan. - DagangNews.com