Bayaran balik pinjaman Oktober kembali normal - AKPK | DagangNews Skip to main content

Bayaran balik pinjaman Oktober kembali normal - AKPK

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Pembayaran semula pinjaman pada bulan Oktober 2020 kembali normal selepas tempoh moratorium tamat, kata Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Kenyataan itu dibuat berdasarkan 300,000 pelanggannya di bawah program pengurusan hutang agensi berkenaan. 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir gembira melihat perkembangan itu walaupun masih awal. 

“Ini (pembayaran) mungkin daripada simpanan mereka sepanjang moratorium automatik, setelah tidak perlu membayar pinjaman pada enam bulan lalu. 

“Kami berharap ia tidak berlaku dan mereka benar-benar dapat membayar kerana mempunyai aliran tunai baik. 

“Walaubagaimanapun, kami bersedia untuk membantu sekiranya mereka berdepan masalah pada beberapa bulan akan datang,” katanya menurut laporan Bernama. 

Beliau berkata demikian ketika sesi webinar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bersempena bulan celik kewangan, #BePrudent: Take Control of Your Finances.

Berdasarkan statistik BNM, peratusan lanjutan moratorium merangkumi kira-kira 40% berbanding 50% bagi pengurangan pembayaran, tetapi bagi pelanggan AKPK yang lebih berisiko, agensi itu menyaksikan nisbah 80:20.

Jelas beliau, pengurusan kewangan yang baik bukan berdasarkan berapa banyak pendapatan yang diperoleh tetapi bagaimana individu dapat menguruskannya.

Namun, Azaddin menjelaskan mereka dalam golongan pendapatan rendah lebih berisiko kerana tidak mempunyai sokongan mencukupi, justeru penting untuk mereka membuat keputusan tepat. - DagangNews.com