KUALA LUMPUR 9 Julai - Syarikat fintech tempatan, Bayo Pay (M) Sdn. Bhd. telah membangunkan platform pembayaran gaji digital yang boleh memanfaatkan semua kontraktor dan personel binaan yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Platform Pembayaran Gaji Construx bakal digunakan oleh semua kontraktor dan pekerja pembinaan yang telah mendaftar dengan CIDB secara percuma tanpa sebarang kos. Platform ini adalah sebahagian daripada penyelesaian yang ditawarkan melalui Program Penambahbaikan Kad Pendaftaran Personel Pembinaan CIDB (Kad Hijau CIDB).
Melalui platform pembayaran gaji Construx, syarikat-syarikat pembinaan kini boleh menguruskan pembayaran gaji pekerja mereka secara terus ke Kad Hijau CIDB dan aplikasi dompet mudah alih Construx yang dibangunkan khas untuk semua kontraktor dan warga kerja binaan yang berdaftar dengan CIDB.
Kad Hijau CIDB pintar dwi-fungsi ini mula diperkenalkan pada 2019. Ia merupakan kad pengenalan diri yang juga boleh berfungsi sebagai kad pendepositan gaji dengan label kad prabayar Mastercard. Ia juga dihubungkan kepada Construx Wallet, sebuah aplikasi dompet mudah alih yang boleh dimuatkan
dengan nilai maksimum RM10,000.
Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma di Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Dengan Kad Hijau CIDB dan aplikasi dompet mudah alih Construx Wallet, personel binaan berdaftar boleh
membuat pelbagai pembayaran bil dan pembelian secara atas talian serta pembelian tanpa tunai di mana–mana premis perniagaan yang menerima Mastercard.
Menteri Kerja Raya, Dato' Sri Haji Fadillah Yusof berkata, "Kami melihat pelancaran ciri tambahan yang diintegrasikan dengan Kad Hijau CIDB adalah tepat pada masanya seiring adaptasi norma baharu urus niaga tanpa tunai.
Beliau berkata, inisiatif ini juga selaras hasrat kerajaan menuju ke arah transaksi tanpa tunai menjelang 2022 di bawah rangka tindakan MyDIGITAL yang telah dilancarkan baru–baru ini.
Secara keseluruhan ujar beliau, solusi Construx bukan sahaja memberi kemudahan dan mengurangkan kos pengendalian tunai tetapi juga membantu mengurangkan risiko dan meningkatkan keselamatan dalam transaksi.
Sehingga kini, lebih daripada 600,000 Kad Hijau CIDB telah diedarkan kepada warga kerja binaan berdaftar di seluruh Malaysia dan adalah dijangkakan jumlah ini akan mencapai satu juta, pasca wabak COVID-19.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir. Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, pelancaran platform digital Construx berjaya menangani cabaran yang dihadapi syarikat pembinaan yang perlu membayar gaji personel binaan secara tunai kerana kebanyakan personel binaan warga asing tidak dapat membuka akaun bank.
Selain itu ujar beliau , platform ini juga memberi kemudahan kepada mereka di kawasan terpencil yang
mempunyai akses kemudahan perbankan yang terhad.
"Beliau turut berkata sektor digital adalah pemacu baru pertumbuhan ekonomi Malaysia dan CIDB teruja dalam melaksanakan rancangan transformasi digital ini bersama-sama syarikat fintech tempatan, Bayo Pay,” katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bayo Pay, Aznul Abdullah, matlamat syarikat adalah untuk memudahkan urusan kesemua pemegang kepentingan dan tenaga kerja binaan melalui penggunaan penyelesaian Construx ini.
Sebagai rakan digital eksklusif CIDB ujar beliau, syarikat juga berhasrat untuk mempercepatkan transformasi digital industri pembinaan melalui pengenalan nilai tambah perkhidmatan secara berterusan terutamanya dari aspek pembayaran digital.
Selain ciri pembayaran yang diperkenalkan, fungsi baru aplikasi dompet mudah alih Construx termasuk CIDB E-ID, fungsi merekodkan kehadiran secara digital di tapak binaan, latihan dalam talian dan laporan insiden atas talian bagi sebarang insiden yang mungkin berlaku di tapak binaan.
Dengan kerjasama rakan niaga digital yang lain, pelbagai ciri perkhidmatan nilai tambah seperti pengiriman wang, pembiayaan mikro dan pengurusan kewangan akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada ciri dompet mudah alih Construx tidak lama lagi.
Pemegang Kad Hijau CIDB juga dapat membuat pengeluaran wang tunai di manamana mesin ATM seluruh dunia yang menerima Mastercard. Bagi yang tidak mempunyai akses ke dompet mudah alih Construx, mereka boleh melayari Portal Construx, secara dalam talian untuk perincian baki akaun.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kad Pendaftaran Personel Pembinaan CIDB dan untuk memulakan penggunaan Sistem Penggajian Construx, sila layari https://cidb.bayo.my.
Hubungi https://bayo.my bagi pemilik perniagaan yang berminat untuk memiliki kad pembayaran berjenama sendiri, dompet dan platform digital tanpa perlu membelanjakan kos pembangunan dan infrastruktur yang tinggi. - DagangNews.com