KUALA LUMPUR 13 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada sekatan akan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi termasuk Bazar Ramadan pada tahun ini.
Bagaimanapun beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) bazar tersebut akan diperhalusi dan diumumkan apabila sampai masanya nanti.
“Kita tidak akan tutup perniagaan, saya dah sebut raya ke, bulan puasa ke, pasar Ramadan ke, pasar malam ke, masih akan dibuka seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia di sini hari ini, lapor Bernama.
Terdahulu, media melaporkan luahan peniaga Bazar Ramadan yang bimbang mereka tidak boleh berniaga akibat kes COVID-19 negara yang mengalami peningkatan mendadak, susulan penularan varian Omicron sejak lebih sebulan lalu.
Semalam, kes baharu COVID-19 mencatatkan 22,802 kes menjadikan kumulatif kes mencecah lebih 3 juta.
Minggu lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim berkata penganjuran Bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini dibenarkan, dan akan dilaksanakan seperti biasa SOP sedia ada.
Pada 2020, operasi Bazar Ramadan di seluruh negara adalah tidak dibenarkan bagi mengekang penularan COVID-19, manakala pada tahun lalu pula, operasi Bazar Ramadan di kawasan yang dikenakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi.
Sementara itu, menjawab soalan pemberita, tidak timbul isu kerajaan akan menjadi lebih stabil jika UMNO tidak menjadi kerajaan, itu kata Ismail Sabri sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Perdana Menteri berkata, kerajaan kini adalah kerajaan UMNO dan beliau sendiri adalah perdana menteri dari UMNO, yang mendapat sokongan dari rakan-rakan parti lain.
“Kita dah tunjuk (buktikan) kerajaan ini stabil, saya sendiri Perdana Menteri UMNO dan disokong oleh rakan-rakan parti yang lain,” katanya.
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, formula untuk melihat kestabilan politik di Malaysia dan negeri-negeri seluruh negara adalah bila UMNO tidak lagi memerintah.
Ismail Sabri berkata kestabilan politik negara juga dibuktikan dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pembangkang.
“Ia tidak pernah berlaku sebelum ini, ia semua bagi memastikan politik negara dalam keadaan stabil, jadi tiada isu seperti yang dikatakan oleh MB (Muhammad Sanusi) itu,” katanya.- DagangNews.com