Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah diiktiraf sebagai bazar terpanjang di Perak | DagangNews Skip to main content

Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah diiktiraf sebagai bazar terpanjang di Perak

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Mac - Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menganjurkan sebuah bazar Ramadan terpanjang di Perak iaitu sejauh 500 meter di Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS), mencuri tumpuan pengunjung.

 

Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) PKNPk, Nurdita Fadzlinda berkata, ini kerana populariti BSAS melonjakkan namanya sebagai destinasi kunjungan ramai terutama pada setiap hari minggu. 

 

Beliau berkata, pada tahun lalu pihaknya melantik syarikat pengurusan acara bagi mengendalikan bazar Ramadan tersebut dan berjaya menarik seramai 50,000 pengunjung.  

 

Katanya, bertitik tolak dari kejayaan tahun lalu, pada tahun ini ia dianjurkan sepenuhnya oleh PKNPk melalui Bahagian Aset dan Pentadbiran.  

 

"PKNPk membuat beberapa penambahbaikan kepada kemudahan bagi memastikan keselesaan kepada para pengunjung di BSAS. Kami juga turut memastikan kebersihan makanan diutamakan dan pemilihan peniaga turut diberi perhatian rapi agar kepelbagaian dan kualiti juadah terjamin.

 

"Kami juga sentiasa memastikan aspek kebersihan di tapak bazar Ramadan berada dalam keadaan baik dan sempurna pada setiap masa. Pihak kami melantik syarikat kontraktor bagi mengendalikan kerja-kerja kebersihan dan pengurusan sampah sepanjang bazar berlangsung.

 

"Selain itu, kemudahan tandas yang mencukupi dan surau yang selesa turut terdapat di situ. Surau untuk lelaki dan wanita yang dilengkapi dengan tempat mengambil wuduk mampu memuatkan sekitar 30 orang dalam satu masa," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

bazar

 

 

Nurdita berkata, pada tahun ini pihaknya membuka ruang perniagaan kepada 100 peniaga yang menyajikan aneka jenis kuih muih, lauk pauk dan minuman sebagai pilihan juadah berbuka puasa. 

 

Katanya, bazar tersebut beroperasi dari pukul 3 petang hingga 11 malam setiap hari bermula 12 Mac hingga 9 April 2024.

 

 

bazar

 

 

"Antara menu menarik yang terdapat di situ seperti Royal Popiah Kuala Kangsar, Air Tembikai Sarbat, Nasi Ayam Taugeh Las Vegas, Sloopyan Hot Dog, Ayam Goreng Kamiez, Bihun Sup Kedah, dan Nasi Vanggey adalah antara juadah yang popular dalam kalangan pembeli," katanya.

 

 

bazar

 

 

Tambahnya, BSAS juga merupakan lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai setiap tahun. Malah, trend berbuka secara santai ini telah menjadi tular pada tahun lalu. 

 

"Adalah menjadi harapan kami untuk menganjurkan bazar Ramadan yang mesra pengunjung dan terbesar di Perak suatu hari nanti serta sentiasa memastikan Bulatan Sultan Azlan Shah lebih selesa untuk kegunaan pengunjung," katanya. - DagangNews.com