BDB bangunkan perbandaran mampu milik, laksana pelan induk Bandar Darulaman 3.0 | DagangNews Skip to main content

BDB bangunkan perbandaran mampu milik, laksana pelan induk Bandar Darulaman 3.0

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (tengah) diberi penerangan mengenai projek Darulaman Saujana oleh Ketua Divisyen Hartanah BDB, Zawawi Wahab (kiri) sambil diperhatikan oleh Che Had Dhali (dua, kiri) pada majlis pelancaran projek tersebut di Jitra, Kedah pada 12 Januari 2023
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) akan membangunkan dua projek pembangunan iaitu perbandaran mampu milik Darulaman Saujana dan serta Pelan Induk Pembangunan Bandar Darulaman 3.0 di Daerah Kubang Pasu, Kedah.

 

Perancangan pembangunan kedua-dua projek berkenaan dilihat akan membawa lembaran baharu kepada daerah Kubang Pasu sekaligus merancakkan lagi pembangunan dan ekonomi negeri untuk tempoh 8 hingga 10 tahun akan datang.

 

Pengerusi BDB, Che Had Dhali berkata, bagi projek Perbandaran Darulaman Saujana, kumpulan menyedari permintaan rumah mampu milik yang semakin meningkat dari hari ke hari terutamanya melibatkan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) di negeri itu.

 

Beliau berkata, Perbandaran Darulaman Saujana bakal dibina di atas tanah seluas 206.32 ekar dan akan memfokuskan kepada pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah di daerah Kubang Pasu serta dijangka akan dimulakan pada suku ketiga 2023.

 

Katanya, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM667.5 juta, hampir 3,000 unit rumah pelbagai jenis bakal dibina di Perbandaran Darulaman Saujana dan apabila siap kelak, ia dijangka mempunyai lebih 14,000 penduduk.

 

“Antara komponen utama pembangunan adalah pembinaan 1,438 unit rumah teres satu tingkat dan 192 unit rumah kluster berkembar satu tingkat yang akan dibina secara berfasa. 

 

"Selain itu, Dasar Perumahan Negeri Kedah juga menjadi keutamaan yang mana Kumpulan BDB berhasrat untuk membina 582 unit Rumah Kasih Rakyat dan 234 unit Rumah Aman Kedah dan 512 unit Rumah Makmur Kedah.

 

 

BDB

 

 

“Di samping itu, terdapat lot perniagaan yang terdiri daripada 21 unit kedai pejabat satu tingkat dan 30 unit kedai pejabat dua tingkat, serta dua lot tapak stesen minyak serta kemudahan awam dan infrastruktur seperti tapak masjid, tapak sekolah, tapak dewan serbaguna, tapak tabika, padang permainan dan kemudahan lanskap serta lokasi tumpuan riadah turut akan disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Che Had berkata, Bandar Darulaman iaitu perbandaran pertama yang telah dibangunkan oleh Kumpulan BDB sejak tahun 1984 di atas tanah seluas 2,220 ekar akan menerima sebuah lagi rancangan pembangunan 8 tahun iaitu Bandar Darulaman 3.0.

 

Beliau berkata, dengan anggaran nilai GDV keseluruhan berjumlah RM740 juta, antara rancangan pembangunan Bandar Darulaman 3.0 adalah Dataran Darulaman, Darulaman Park, dan Darulaman Hills yang mana kumpulan meletakkan keyakinan penuh rancangan pembangunan itu bakal menjadikan ia sebuah perbandaran lebih moden dan maju.

 

Katanya, teras utama pembangunan Bandar Darulaman 3.0 adalah berkonsepkan kelestarian alam yang memberikan keutamaan kepada pengunaan tenaga boleh diperbaharui secara efektif serta menerapkan elemen rendah karbon dalam setiap aspek pembangunan.

 

“Fasa pertama pembangunan iaitu Dataran Darulaman akan melibatkan pembangunan di atas tanah seluas 4.07 ekar yang mana 4 buah bangunan komersial dengan setiap satunya berkeluasan 6,000 kaki per segi, termasuk sebuah menara korporat bakal dibina di Dataran Darulaman. 

 

“Fasa kedua pembangunan pula akan menyaksikan transformasi keseluruhan Darulaman Park yang mana sebuah hub pembangunan bercampur di Bandar Darulaman akan dibangunkan di atas seluas 87.11 ekar melibatkan pembinaan pusat beli-belah, pangsapuri perkhidmatan 12 tingkat, pangsapuri 5 tingkat, pangsapuri 18 tingkat, rumah bandar 3 tingkat, dan hospital pakar, dengan kapasiti 100 buah katil," katanya.

 

Tambahnya, fasa pembangunan terakhir adalah sebuah projek perumahan di Darulaman Hills melibatkan 262 unit rumah banglo 2 tingkat akan dibangunkan di atas tanah seluas 94.91 ekar dengan berlatarkan kehijauan dan keindahan alam semula jadi serta menitik-beratkan pengekalan bentuk muka bumi semula jadi," katanya. - DagangNews.com