BDB jalin perjanjian dengan London Time kendalikan Langkawi Designer Premium Outlet  | DagangNews Skip to main content

BDB jalin perjanjian dengan London Time kendalikan Langkawi Designer Premium Outlet 

Lakaran grafik menunjukkan Langkawi Designer Premium Outlet (LDPO). 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Bina Darulaman Bhd. (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDBMBI Langkawi Ventures Sdn. Bhd. menandatangani lembaran terma indikatif bagi Perjanjian Penyewaan dan Operator Utama bersama KS London Time Trading Retail (London Time) untuk mengendalikan Langkawi Designer Premium Outlet (LDPO).

 

Perjanjian tersebut tertakluk kepada penerimaan bersama kedua-dua pihak dan dijangka dimuktamadkan pada suku pertama 2022, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Menerusi perjanjian itu, katanya, ia akan menyaksikan pelantikan 2 operator beli-belah terkemuka Eropah iaitu European retailers McArthurGlen UK Ltd (McArthurGlen) dan Unibail-Rodamco-Westfield (URW) yang akan membawa kepakaran mereka untuk membantu mengendalikan LDPO yang dimiliki BDBMI.

 

"Kedua-dua operator ini akan bekerjasama dengan London Time untuk menjalankan operasi LDPO yang mana ia dijangka memulakan operasi pada suku ketiga 2023.

 

"London Time, dengan kerjasama McArthurGlen dan URW, akan menjadi Penyewa Utama dan menguruskan LDPO untuk tempoh selama 25 tahun," katanya.

 

Pemilihan McArthurGlen dibuat berdasarkan rekodnya sebagai perintis dalam rekaan outlet peruncitan di Eropah dan Kanada. 

 

Berpangkalan di United Kingdom (UK), ia mengendalikan lebih 7.5 juta kaki persegi ruang outlet di 26 pusat merentasi 10 negara antaranya, Itali, Perancis, UK, Jerman, Belanda, Sepanyol, Belgium, Austria, Kanada dan Greece. Pusat niaganya menarik kedatangan lebih 90 juta pengunjung setiap tahun.

 

Sementara itu, URM yang berpangkalan di Perancis, merupakan operator dan pemaju global utama dengan 86 pusat beli-belah termasuk 53 pusat beli-belah utama di 2 benua dan 12 negara.

 

Setakat 30 Jun 2021, URM mengendalikan portfolio bernilai 55 bilion pound dan mempunyai projek pembangunan dalam perancangan berjumlah 3.8 bilion pound.

 

Menurut BDB, pelantikan rakan kongsi LDPO menandakan satu peristiwa penting dalam objektif strategik kumpulan untuk mewujudkan gaya hidup baharu dan penawaran runcit yang akan mengukuhkan lagi reputasi global Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama.

 

Katanya, perjanjian tersebut juga menambah nilai sewaan kasar kepada BDBMI bagi tempoh 25 tahun dianggarkan melebihi RM790 juta, meminimumkan operasi dan pendedagan kewangan kepada BDBMI.

 

"Ia juga akan memastikan kejayaan operasi dan pemasaran LDPO menerusi pelantikan 2 operator outlet pusat belah berjenama mewah yang terkemuka," tambahnya.

 

 

bdb
LAKARAN pelukis terhadap Langkawi Designer Premium Outlet yang bakal dibangunkan oleh BDB.

 


Dibangunkan oleh BDB, LDPO akan menjadi pusat peruncitan premium Langkawi yang pertama dengan menawarkan sehingga 183 ruang niaga, fesyen, barangan jenama mewah, makanan dan minuman di kawasan seluas lebih 451,000 kaki persegi.

 

LDPO terletak di lokasi strategik bertentangan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, yang menjadi pintu utama pelawat tempatan dan antarabangsa ke pulau berkenaan. -DagangNews.com