Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Feb. - Cukupkah hanya satu kutipan dana yang dilaksanakan AirAsia Group Berhad menerusi tawaran persendirian ketika ini?
MIDF Research melihat langkah itu hanya bersifat sementara untuk menangani masalah kewangan yang dihadapi AirAsia.
Sekiranya dilaksanakan dalam tempoh masa ditetapkan, ini akan menjadi bukti bahawa masih ada keyakinan dalam kalangan para pelabur untuk AirAsia mengumpul dana walaupun berdepan isu kewangan, ujar MIDF.
“Ini akan menarik nafas lega buat syarikat penerbangan itu. (Namun) Kami berpendapat bahawa kumpulan syarikat itu mungkin perlu melaksanakan beberapa kutipan dana sekali lagi, (dan) mendedahkan pemegang sahamnya yang berpotensi berdepan kekurangan pemegangan ekuiti pada masa akan datang,” jelas firma penyelidik itu dalam nota kajian.
AirAsia dalam makluman di Bursa Malaysia semalam berhasrat untuk mengumpul kira-kira RM250 juta menerusi tranche pertama tawaran persendirian yang melibatkan 369.85 juta saham bernilai 67.5 sen seunit.
Harga terbitan itu, yang ditetapkan pada Rabu, menunjukkan diskaun sebanyak 9.82% daripada harga purata wajaran jumlah dagangan lima hari AirAsia pada 74.85 sen sehingga 9 Februari.
Langkah penuh tawaran persendirian itu dijangka meraih nilai sehingga RM451.51 juta melibatkan 668.39 juta saham pada harga RM0.68 seunit.
Sebelum ini, pengurusan AirAsia memberitahu bahawa kumpulan syarikat itu memerlukan modal antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion untuk membolehkan mereka beroperasi dengan ‘selesa’ hingga penghujung tahun kewangan semasa.
Disebabkan itu, MIDF berpendapat syarikat penerbangan tambang murah berkenaan memerlukan langkah kutipan dana yang lain selepas ini.
Ini susulan kadar jangkitan COVID-19 di Malaysia dan pasaran utama AirAsia membimbangkan dan menjejaskan landasan pemulihannya bagi tahun ini, jelas MIDF lanjut.
Dalam pada itu, dengan syarikat penerbangannya di pasaran lain yang berdepan isu sama, MIDF tidak menolak kemungkinan AirAsia akan menyuntik dana untuk memastikan kewangan mencukupi.
“Untuk rekod, entiti Filipina dan Indonesia ketika ini dalam pelbagai peringkat permohonan pinjaman bank.
“Kami tidak mengubah sebarang ramalan keuntungan AirAsia buat masa ini,” tambah MIDF.
MIDF mengekalkan saranan ‘jual’ saham AirAsia dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM0.37 sesaham.
Ketika ditutup pada 12.30 tadi, nilai saham AirAsia menyusut 3 sen kepada RM0.80. - DagangNews.com