Bekalan benih padi cukup - Nafas | DagangNews Skip to main content

Bekalan benih padi cukup - Nafas

Benih padi sah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Mac. - Benih padi sah yang diterima pesawah bukan sahaja berkualiti dan harga terkawal, malah bekalan benih berkenaan diyakini mencukupi di pasaran.

 

Memberi jaminan tersebut, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkata, pihaknya mampu membekalkan benih padi sah daripada pelbagai varieti yang diperlukan pesawah untuk keluasan 520,000 hektar penanaman padi di Semenanjung Malaysia.

 

"Stok benih padi sah yang telah mendapat pengesahan Jabatan Pertanian adalah sebanyak 9,000 tan metrik, benih yang sedang dalam proses pengesahan pula adalah sebanyak 39,000 tan metrik.

 

"Jumlah berkenaan melebihi keperluan semasa iaitu 36,000 tan metrik bagi satu musim penanaman padi.

 

"Sehubungan itu, pesawah di seluruh negara adalah diharap tidak gusar atas kemampuan Nafas dalam memastikan bekalan benih padi sah mencukupi untuk keperluan penanaman padi," jelas Nafas dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan yang sama, Nafas memberitahu, pihaknya komited dalam memastikan benih padi sah yang diedarkan adalah berkualiti selain harga pasaran di bawah RM35 per beg.

 

Ujar Nafas, harga siling RM35 bagi setiap 20 kilogram (kg) yang telah ditetapkan kerajaan mampu mengatasi isu manipulasi harga.

 

"Sehingga 12 Mac, sebanyak 212,666 beg bersamaan 4253.32 tan metrik sudah diedarkan oleh ejen rasmi melalui Pertubuhan Peladang Kawasan di Semenanjung Malaysia.

 

"Anggaran keperluan untuk benih padi sah dalam tempoh setahun adalah sebanyak 72,000 tan metrik bersamaan 3.6 juta beg untuk keluasan 520,000 hektar di Semenanjung Malaysia," jelas Nafas. - DagangNews.com