Bekalan minyak sawit terhad mungkin berpanjangan hingga September | DagangNews Skip to main content

Bekalan minyak sawit terhad mungkin berpanjangan hingga September

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Situasi bekalan minyak sawit yang terhad mungkin berpanjangan sehingga sekurang-kurangnya suku ketiga 2021 (3Q21) atau September depan susulan isu kekurangan buruh yang masih belum selesai dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Menurut MIDF Research, paras inventori minyak sawit dijangka kekal di bawah 2 juta tan metrik ekoran kekurangan tenaga buruh dalam jangka masa sederhana ini.

 

“Kami difahamkan minyak sawit di Malaysia ketika ini telah memasuki musim tanaman yang lebih tinggi. Oleh itu, kami berpendapat bahawa output tanaman akan menyaksikan pemulihan bermusim memasuki 3Q21 dan seterusnya akan meningkatkan inventori,” jelas firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.

 

Inventori minyak sawit tempatan mencatatkan pemulihan positif sejak Mac 2021 di mana parasnya menokok sebanyak 10.6% berbanding Februari lalu kepada 1.4 juta tan metrik.

 

Berdasarkan pemerhatian MIDF, walaupun inventori mencatatkan paras bulanan yang lebih tinggi, namun tahap itu masih 17.7% lebih rendah berbanding Mac 2020 dan 51.3% lebih kecil berbanding Mac 2019.

 

Ini mungkin disebabkan oleh gangguan bekalan, permintaan yang lebih tinggi didorong pembukaan semula aktiviti ekonomi dan penyimpanan stok dari negara eksport utama, tambah MIDF lanjut.

 

Sebagai rekod, permintaan eksport minyak sawit mentah (MSM) mula menunjukkan lonjakan yang signifikan pada Mac 2021 dengan jumlah melebihi 1 juta tan metrik.

 

Bagaimanapun, eksport pada Mei 2021 menyusut sedikit sebanyak 6.0% bagi perbandingan bulan ke bulan kepada 1.27 juta tan metrik daripada 1.35 juta tan metrik diraih pada April 2021.

 

“Pada masa akan datang, kami menjangkakan pertumbuhan eksport yang lebih perlahan dari India kerana pelaksanaan perintah berkurung di negara itu. Perlu diperhatikan bahawa China pada tempoh dua bulan lalu telah menonjolkan prestasi memberangsangkan di mana permintaan eksport mereka melonjak sebanyak 52.8% bulan ke bulan pada April 2021 dan menokok 30.0% pada Mei 2021. 

 

“Kami berpendapat China akan terus menjadi destinasi pemintaan eksport yang baik. Dalam pada itu, berdasarkan pemerhatian kami, China dan India muncul sebagai pengimport minyak sawit Malaysia utama merangkumi 26.8% dengan pertumbuhan eksport sebanyak 67.1% tahun ke tahun pada 1Q21 berbanding 16.0% pada 1Q20,” ujar MIDF lagi.

 

MIDF kekal positif terhadap sektor berkenaan dengan harga MSM diunjurkan lebih tinggi kepada RM3,200 daripada RM3,000 bagi setiap tan metrik. - DagangNews.com