KUALA LUMPUR 22 Ogos - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan Pharmaniaga Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada 58 sen daripada 73 sen sesaham berikutan prestasi kewangannya pada suku kedua tersasar daripada jangkaan penganalisis.
Pada suku berakhir 30 Jun 2022 itu, untung bersihnya menjunam sehingga 94.7% kepada RM722,000 pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM13.7 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu juga merosot 35.3% kepada RM761.1 juta daripada RM1.2 bilion bagi tempoh sama 2021 memandangkan negara beralih kepada fasa endemik.
Penganalisisnya, Sherman Lam Hsien Jin berkata, hasil pengeluaran pada suku berkenaan kembali normal kepada paras sebelum COVID-19 sebanyak RM2 juta, susut 99.4% tahun ke tahun dan 72.1% suku ke suku daripada RM347 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Katanya, penurunan itu disebabkan penyusutan mendadak dalam sumbangan daripada pembekalan filled-and-finished vaksin Sinovac COVID-19.
"Permintaan yang lemah ini disebabkan kadar vaksinasi yang agak tinggi di Malaysia, dengan 84% dan 50% daripada populasi telah divaksin dan menerima dos penggalak sepenuhnya setakat 19 Ogos 2022.
"Oleh itu, segmen pembuatan merosot dengan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM2 juta dan diheret turun perbelanjaan kakitangan yang lebih tinggi (sebahagiannya pengambilan kakitangan pemasaran) serta kos pengiklanan dan promosi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih Pharmaniaga menjunam 95% kepada RM722,000 pada suku kedua
Menurutnya, kerugian bersih bagi segmen logistik dan pengedaran pada suku kedua itu juga berpunca daripada kelewatan dalam pengiktirafan kontrak bukan konsesi daripada Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah perniagaan tender kepada suku ketiga 2022.
Namun, katanya, operasi Indonesia mencatatkan pulang modal dengan keuntungan bersih, sebahagian besarnya stabil berbanding suku kedua 2021 sebanyak RM1 juta tetapi susut berbanding suku pertama 2022 sebanyak RM4 juta.
"Di sebalik kontrak konsesi yang lemah pada separuh kedua, kami melihat pendapatan daripada segmen pembuatan serta logistik dan pengedaran yang lebih kukuh suku ke suku pada suku ketiga ini disebabkan kontrak bukan konsesi KKM bagi permintaan paracetamol," jelasnya.
Secara keseluruhan, Hsien Jin mengurangkan unjuran pendapatan sesaham Pharmaniaga bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 antara 9 hingga 12% setelah mengambil kira perbelanjaan operasi dan kadar cukai yang lebih tinggi sejajar dengan semakan semula harga sasaran.
Setakat 9.07 pagi ini, harga sahamnya susut 1.5 sen atau 2.52% kepada 58 sen dengan 619,600 saham diniagakan. -DagangNews.com