Bekas CEO KWSP, Tunku Alizakri dilantik Pengarah Bumi Armada | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO KWSP, Tunku Alizakri dilantik Pengarah Bumi Armada

Tunku Alizakri Raja Muhammad Alia
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Julai - Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias telah dilantik sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif syarikat minyak dan gas, Bumi Armada Berhad berkuatkuasa, hari ini. 

 

Pelantikan Tunku Alizakri, 51, yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu dimaklumkan kumpulan di Bursa Malaysia awal pagi ini.

 

Menurut Bumi Armada, Tunku Alizakri mempunyai 20 tahun pengalaman dalam pengurusan kanan dan di peringkat Lembaga Pengarah, merentasi pelbagai sektor serta industri termasuk dana persaraan, perkhidmatan kewangan, perbankan pusat, penjagaan kesihatan, media dan telekomunikasi, perladangan serta minyak dan gas, dan pembangunan hartanah. 

 

“Peranan eksekutifnya yang terakhir adalah sebagai CEO KWSP, dana persaraan ketujuh terbesar global dengan sekitar AS$250 bilion (kira-kira RM1,049.50 bilion) aset di bawah pengurusan.

 

“Bidang kepakarannya termasuk kemampanan, pendigitalan dan transformasi perusahaan, strategi korporat dan pengurusan dana,” jelas Bumi Armada. 

 

Sebelum menyertai KWSP, beliau merupakan Ketua Pegawai Pemasaran dan Ketua Pegawai Operasi di Iclif Leadership and Governance Centre.

 

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan sebagai Pengarah Pengurusan Strategi di Bank Negara Malaysia (BNM), Pengarah serta Ketua Strategi dan Hal Ehwal Korporat di  DiGi Telecommunications Berhad serta Naib Presiden dan Ketua Perancangan Kumpulan di Malayan Banking Berhad (Maybank).

 

Ketika ini, beliau turut berperanan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Kwasa Utama Sdn Bhd, Battersea Project Holding Company Limited dan Battersea Project Land Company Limited.

 

Sekitar awal bulan ini, beliau turut dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) berkuat kuasa 1 Julai 2021.

 

Tunku Alizakri juga merupakan Naib Pengerusi Suruhanjaya Teknikal Organisasi, Pengurusan dan Inovasi untuk International Social Security Association. - DagangNews.com