Bekas CEO MAHB Raja Azmi dilantik Ketua Pegawai Operasi Mavcom | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO MAHB Raja Azmi dilantik Ketua Pegawai Operasi Mavcom

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) telah melantik Raja Azmi Raja Nazuddin (gambar atas) sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharunya bermula 15 September 2020. 

Mavcom menerusi satu kenyataan hari ini berkata, Raja Azmi mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam industri penerbangan serta sektor korporat. 

“Mavcom yakin Raja Azmi dapat mentadbir suruhanjaya ini dengan baik dalam mempromosikan sektor penerbangan awam yang fokus kepada pengguna dan berdaya tahan. 

“Raja Azmi merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dari 4 Januari 2019 hingga 6 Januari 2020. Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Pegawai Kewangan kumpulan berkenaan.

“Beliau juga berkhidmat dalam jawatan pengurusan atasan di beberapa entiti tersenarai dan tidak tersenarai. Raja Azmi merupakan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Bath, United Kingdom (UK). 

“Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia dan Institut Akauntan Malaysia,” kata Mavcom.

 

Azmir Zain
Azmir Zain

 

Tambah Mavcom, Raja Azmi bakal menggantikan Azmir Zain yang telah meletakkan jawatan sebagai COO Mavcom berkuatkuasa 14 September 2020.

Sebelum ini,  Azmir telah menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Mavcom bagi meneruskan perkara lain dan berkhidmat sejak 1 April 2016.

“Azmir mewakili integriti Mavcom, tidak memihak dan profesional serta tidak berhenti menunjukkan komitmen pentadbiran tahap tinggi di samping memastikan suruhanjaya ini beroperasi sesuai dengan peruntukan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

“Mavcom mengucapkan Azmir selamat maju jaya pada masa hadapan,” tambah Mavcom. - DagangNews.com