Bekas CEO Petronas, Wan Zulkiflee kini Pengerusi Gas Malaysia | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO Petronas, Wan Zulkiflee kini Pengerusi Gas Malaysia

Wan Zulkiflee Wan Ariffin
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin bakal menerajui Gas Malaysia Berhad sebagai Pengerusi bebas dan bukan eksekutif berkuatkuasa 1 Julai 2021.

 

Dalam makluman Gas Malaysia di Bursa Malaysia, Wan Zulkiflee, 61, bakal menggantikan Datuk Hasni Harun, 64, yang melepaskan jawatan tersebut berkuatkuasa esok untuk menumpukan komitmen lain. 

 

Ketika ini, Wan Zulkiflee memegang jawatan sebagai Pengerusi Kumpulan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) sejak 1 Julai 2020. 

 

“Sebelum menyertai MAB, Wan Zulkiflee berperanan sebagai Presiden dan GCEO Petronas bermula April 2015 hingga Jun 2020. 

 

“Wan Zulkiflee memulakan kerjayanya di Petronas pada 1983 sebagai Jurutera Proses, terlibat dalam pembangunan Loji Pemprosesan Gas,” jelas Gas Malaysia. 

 

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan di Petronas, antaranya sebagai Pengarah Urusan dan CEO Petronas Gas Berhad bermula 2003 hingga 2007, Naib Presiden Perniagaan Gas Petronas dari 2006 hingga 2010 dan Pengerusi Petronas Gas Berhad pada 2008 hingga 2010.

 

Pada tahun 2012, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi di Petronas, sebagai tambahan kepada peranannya sebagai Naib Presiden Eksekutif dan CEO Perniagaan Hiliran Petronas.

 

Pada 4.47 petang, harga saham Gas Malaysia menokok 2 sen atau 0.73% kepada RM2.76. 

 

Gas Malaysia menyaksikan nilai pasarannya mencecah RM3.54 bilion dengan jumlah saham yang diterbitkan sebanyak 1.28 bilion. - DagangNews.com