Bekas Ketua Hakim Negara Tun Raus dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu Sedania | DagangNews Skip to main content

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Raus dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharu Sedania

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sedania Innovator Berhad mengumumkan pelantikan Tun Md Raus, Ketua Hakim Negara Malaysia ke-14, sebagai ahli Lembaga Pengarahnya, berkuat kuasa pada 2 Ogos 2024.

 

Tun Md Raus membawa bersama beliau kerjaya yang cemerlang dalam kehakiman dan perkhidmatan undang-undang Malaysia yang bermula pada tahun 1976.

 

Sebelum ini, Tun Raus telah memegang pelbagai jawatan penting dalam kehakiman Malaysia termasuk Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya, serta Penasihat Undang-Undang kepada beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa; Kementerian Pertahanan; dan Kementerian Dalam Negeri.

 

Tun Raus juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri bagi negeri-negeri Melaka dan Kelantan, dengan jawatan terakhirnya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang sebagai Peguam Perbendaharaan di Kementerian Kewangan.

 

Pada 1 November 1994, Tun Md Raus dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 Januari 1996.

 

Tempoh perkhidmatan Tun Raus sebagai Hakim Mahkamah Tinggi menyaksikan beliau berkhidmat di Shah Alam, Muar, Pulau Pinang, dan Bahagian Jenayah Kuala Lumpur, Bahagian Sivil (Mahkamah Keluarga), Bahagian Komersial, dan Bahagian Kuasa Rayuan dan Khas.

 

Beliau dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 28 Julai 2006, dan kemudian ke Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober 2009. Tun Raus mencapai puncak kerjayanya apabila beliau memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia yang ke-14 pada 1 April 2017.

 

Di peringkat antarabangsa, Tun Raus diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Seumpamanya serta menjadi ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (Council of ASEAN Chief Justices) atau CACJ.

 

 

Tan Sri Abdul Halim Ali
                      Tan Sri Abdul Halim Ali

 

 

Pengerusi Sedania, Tan Sri Abdul Halim Ali, mengulas: "Kami berbangga untuk mengalu-alukan Tun Md Raus sebagai Lembaga Pengarah Sedania".

 

Beliau berkata, pengalaman kehakiman beliau yang luas, perkhidmatan yang cemerlang dan kepimpinan beliau akan menjadi tunjang kepada Sedania, terutamanya dalam perlaksanaan inisiatif strategik syarikat.

 

"Kepakaran Tun bukan sahaja akan mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap tadbir urus yang baik, tetapi juga membantu mendorong syarikat ke arah pertumbuhan dan kejayaan yang lebih cemerlang dalam tahun-tahun yang akan datang.

 

"Adalah suatu penghormatan bagi kami untuk melantik Tun Raus, seorang ahli terkemuka dalam bidang undang-undang dan kehakiman di Malaysia, sebagai ahli Lembaga Pengarah kami," kata Abdul Halim.

 

 

Datuk Azrin Mohd Noor
                 Datuk Azrin Mohd Noor

 

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pelantikan Tun Raus sebagai ahli Lembaga Pengarah adalah detik penting bagi Sedania.

 

"Kepakaran undang-undang dan kualiti kepimpinan beliau yang mendalam akan menjadi asas dalam membentuk hala tuju strategik kami dan memastikan kami terus cemerlang dalam komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian.

 

"Kami amat teruja dengan kehadiran Tun Raus di dalam Lembaga Pengarah kami dan yakin bahawa sumbangan Tun akan mengukuhkan lagi perjalanan dalam mencapai matlamat jangka panjang kami," kata beliau. - DagangNews.com