BELANJAWAN 2021: 3 inisiatif bantu pekerja | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021: 3 inisiatif bantu pekerja

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Bagi Belanjawan 2021, kerajaan turut memberi peruntukan untuk tiga inisiatif buat pekerja, ini termasuk program kemahiran dan latihan semula, MySTEP atau Short-term Employment Programme serta Program Subsidi Upah Bersasar.

Kerajaan memperuntukkan sehingga RM1 bilion bagi tujuan program peningkatan kemahiran dan latihan semula atau ‘reskilling and upskilling’ bermula tahun hadapan. 

Program itu disasarkan untuk 200,000 pelatih yang memberi tumpuan kepada kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan, di mana merangkumi:

Pertama: RM150 juta diperuntukkan bagi program Kementerian Pengajian Tinggi persijilan profesional (KPT-PACE) iaitu graduan baharu ditawarkan baucar bernilai RM3,000 seorang untuk mengambil kursus sijil profesional di universiti awam dan swasta. 

Dijangka 50,000 graduan akan memperoleh manfaat daripada program berkenaan. 

Kedua: RM100 juta kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad atau HRDF bagi melaksanakan program latihan dan kerja secara usahasama dengan majikan sektor swasta

Ketiga: RM100 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memudahkan peralihan bakat tenaga kerja sedia ada bagi mengisi keperluan dalam industri ICT yang kian berkembang

Keempat: RM100 juta kepada pihak berkuasa pembangunan wilayah terutamanya IRDA dan SEDIA untuk melengkapkan kemahiran baharu kepada tenaga kerja yang terjejas teruk akibat penutupan sempadan bagi pelancong asing agar memudahkan mereka mendapat peluang kerja atau sumber pendapatan baharu

Kelima: RM30 juta kepada PERHEBAT untuk program latihan kemahiran dan keusahawanan yang dijangka memanfaatkan 12 ribu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 

“Bagi menggalakkan rakyat meningkatkan kemahiran serta menceburi bidang baharu, skop pelepasan cukai yuran pengajian akan diperluas meliputi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran oleh badan-badan bertauliah, terhad kepada RM1,000 bagi setiap tahun taksiran,” kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif MySTEP dengan peruntukan lebih RM700 juta yang menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC bermula Januari 2021. 

“Di bawah inisiatif ini, 35,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan di dalam sektor awam dengan keutamaan mengisi jawatan seperti jururawat, pegawai perubatan, pegawai kebajikan masyarakat, serta guru sementara. 

“Manakala, syarikat GLC pula akan menyediakan 15,000 peluang pekerjaan yang mengutamakan bidang teknikal dan kewangan serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantisan,” tambah Tengku Zafrul. 

Dalam pada itu, kerajaan akan melanjutkan pelaksanaan Program Subsidi Upah selama tiga bulan lagi dengan lebih bersasar, khususnya bagi sektor pelancongan termasuk sektor peruncitan dengan kadar RM600 sebulan bagi pekerja bergaji RM4,000 dan ke bawah. 

Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. 

Sebanyak RM1.5 bilion diperuntukkan dan dijangka membantu kira-kira 70,000 majikan dan 900,000 pekerja. - DagangNews.com