BELANJAWAN 2021: Bujang atas 21 tahun terima RM350 bawah BPR | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021: Bujang atas 21 tahun terima RM350 bawah BPR

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah bakal menerima bantuan RM350 di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH). 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, had umur kelayakan individu bujang diturunkan kepada 21 tahun, berbanding syarat sebelum ini, iaitu 40 tahun.

 

Secara keseluruhan, pemberian BPR itu dijangka memanfaatkan 8.1 juta orang dengan peruntukan 6.5 bilion ringgit berbanding dengan 4.3 juta penerima dan peruntukan 5 bilion ringgit sebelum ini di bawah BSH.

 

“Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah diperkenalkan untuk mengurangkan beban aliran tunai bagi rakyat yang terkesan ekoran COVID-19

 

“Bagi tahun 2020, BPN dan BSH, melibatkan penyaluran sebanyak RM21 bilion kepada 10.6 juta penerima. Pada bulan Januari 2021, bayaran BPN2.0 fasa kedua sebanyak RM2.2 bilion bakal disalurkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Selain itu, bantuan turut diberikan kepada kategori dan kadar berikut:

bpr

Pertama: Isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan mempunyai sehingga seorang anak akan menerima bantuan sebanyak RM1,200, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,800 .
 

bpr

Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM2,501 hingga RM4,000 dan mempunyai sehingga seorang anak, bantuan BPR sebanyak RM800 akan disalurkan, manakala isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih akan menerima bantuan sebanyak RM1,200.

 

Ketiga: Kerajaan turut akan membantu kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan antara RM4,001 hingga RM5,000. Kategori ini akan menerima RM500 bagi yang mempunyai sehingga seorang anak dan bantuan RM750 ringgit kepada isi rumah yang mempunyai dua orang anak atau lebih.

 

Sebagai tambahan, kerajaan turut memperuntukkan RM1.5 bilion bagi melaksanakan Program Jaringan PRIHATIN bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet.

 

Bermula suku pertama 2021, lebih kurang 8 juta penerima dari golongan B40 akan menerima bantuan RM180 seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi.

 

Bantuan itu boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu.

 

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi akan menyediakan manfaat bernilai RM1.5 bilion seperti dalam bentuk data percuma.- DagangNews.com