Belanjawan 2021 dijangka lonjak bon Malaysia cecah RM165 bilion - Ram Ratings | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 dijangka lonjak bon Malaysia cecah RM165 bilion - Ram Ratings

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 24 Nov. - Di Malaysia, aliran terbitan MGS/GII pada tahun hadapan akan berterusan dipacu oleh keperluan dana dalam Belanjawan 2021. 

 

Oleh itu, RAM Rating Services Berhad (Ram Ratings) menjangkakan bon kerajaan akan kekal meningkat, mungkin mencapai setinggi RM155 bilion hingga RM165 bilion pada tahun hadapan. 

 

Pada Oktober 2020, permintaan asing kekal kukuh dengan pasaran bon domestik mencatat aliran masuk asing bulan keenam berturut-turut, berjumlah RM8.0 bilion.

 

Nilai itu menunjukkan peningkatan besar daripada margin aliran masuk pada bulan sebelumnya sebanyak RM500 juta didorong oleh ketidaktentuan keputusan pemerhatian FTSE Russell.

 

“Penerbitan MGS/GII pada Oktober 2020 terus mengukuh pada nilai RM14.5 bilion dengan nisbah bida kepada liputan (BTC) yang memberangsangkan menghampiri dua kali atau lebih.

 

“Rantau Asia akan kekal menarik pada bulan-bulan akan datang terutama ketika prospek pemulihan ekonomi terutamanya dalam prestasi pelaburan,” kata Ram Ratings dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Dalam pada itu, jangkaan terhadap kemenangan Joe Biden dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) juga mendorong banyak ekonomi Asia yang berorientasikan eksport menyokong keyakinan itu. 

 

Sementara itu, terbitan bon korporat pada bulan sama turut melonjak kepada RM16.2 bilion, menjadikan jumlah setakat ini bernilai RM79.4 bilion.

 

“Berdasarkan pembiayaan yang berkos rendah dan para penerbit berhasrat untuk ‘mengunci’ pembiayaan mereka sehingga penghujung tahun, kami percaya dapat mencapai tahap jumlah yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu RM80 bilion hingga RM95 bilion untuk tahun ini.

 

“Mengambil kira prospek pemulihan ekonomi, kadar faedah rendah dan projek infrastruktur yang berterusan, kami mengubah terbitan korporat kasar kepada RM100 bilion hingga RM110 bilion pada 2021,” tambah Ram Ratings. - DagangNews.com