Belanjawan 2021 komited atasi pengangguran - KSM | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 komited atasi pengangguran - KSM

 

 

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Peruntukan sebanyak RM5.422 bilion di bawah Belanjawan 2021 yang diumumkan Jumaat lalu membuktikan komitmen kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia untuk menangani isu pengangguran di negara ini. 

 

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.288 bilion adalah perbelanjaan tahunan kementerian manakala RM4.134 bilion pula peruntukan tambahan yang akan disalurkan kepada agensi di bawah kementeriannya. 

 

Datuk Seri M Saravanan
Datuk Seri M Saravanan

 

Menteri Sumber Manusia,Datuk Seri M Saravanan berkata, peruntukan itu membabitkan program perlindungan sosial, latihan kemahiran dan insentif pengambilan pekerja.

 

Katanya, daripada peruntukan tambahan itu juga, sejumlah RM1.5 bilion diberikan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pelaksanaan Program Subsidi Upah 2.0.

 

"Insentif ini menggalakkan syarikat mengambil pekerja tempatan yang mana had 200 pekerja sebelum ini dinaikkan kepada 500 orang untuk syarikat besar di bawah sektor pelancongan dan peruncitan," katanya dalam sidang akhbar mengenai Belanjawan 2021 pada Rabu. 

 

Menurut beliau, berbanding negara lain, kerajaan dapat mengurangkan kadar pengangguran melalui subsidi upah. 

 

"Ini terbukti apabila Perkeso membantu hampir 2.7 juta pekerja daripada hilang pekerjaan dan menyelamatkan 300,000 syarikat daripada gulung tikar," katanya. 

 

Dalam pada itu, Saravanan berkata, melalui program Subsidi Upah dan PenjanaKerjaya, kadar pengangguran dapat diturunkan daripada 5.3% pada Mei kepada 4.6% pada September. 

 

Sehubungan itu, katanya, dana yang diperuntukkan itu akan digunakan bagi mengatasi isu pengangguran, mewujudkan peluang pekerjaan dan menambah kemahiran seperti upskilling, reskilling, crosskilling' dan realskilling.

 

Susulan kejayaan program PenjanaKerjaya, beliau berkata, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan siri kedua program tersebut.

 

Di bawah insentif ini, pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40% daripada gaji bulanan.

 

"Bagi pengambilan pekerja dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), penganggur jangka panjang, ibu tunggal dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan menerima insentif tambahan sebanyak 20% daripada gaji bulanan pekerja berkenaan," katanya.

 

Selain itu, insentif tambahan sebanyak 20% daripada gaji bulanan akan ditawarkan bagi pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing dan kadar maksimum program latihan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional. - DagangNews.com