Belanjawan 2021 lulus : Pasaran saham Malaysia dibuka hampiri paras tertinggi | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 lulus : Pasaran saham Malaysia dibuka hampiri paras tertinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Susulan Belanjawan 2021 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, pasaran saham Malaysia dibuka menghampiri paras tertinggi sepanjang tahun ini. 

 

Setakat 9.02 pagi, KLCI mencecah paras 1,617.43, melonjak 5.32 mata atau 0.33% daripada paras yang ditutup semalam, 1,612.11.

 

“FBM KLCI kini berlegar menghampiri paras tertinggi sepanjang satu tahun ini ekoran sokongan Belanjawan 2021. Kami percaya indeks penanda aras itu akan kekal di atas 1,610 dan 1,620 akan menjadi paras rintangan (resistance) seterusnya.

 

“Wall Street ditutup kerana upacara kesyukuran. Bagaimanapun, kami menjangkakan sentimen lonjakan kekal tertumpu pada perkembangan vaksin COVID-19 dengan penyingkiran Donald Trump. 

 

AS

 

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran serantau akan kekal dalam lingkungan positif hari ini,” kata Rakuten Trade Research dalam nota kajian pasarannya. 

 

Penantian keputusan pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 selesai pada peringkat dasar apabila Dewan Rakyat telah meluluskannya. 

 

Semalam, kira-kira jam 3.30 petang, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan perkara tersebut selepas menerima suara majoriti ‘setuju’ daripada Ahli-Ahli Parlimen. 

 

dewan rakyat

 

Mengikut takwim Dewan Rakyat, Belanjawan 2021 akan diperbahaskan di peringkat jawatan kuasa selama 10 hari sebelum undi belah bahagi diadakan sekali lagi. 

 

Belanjawan 2021 memainkan sentimen penting dalam pergerakan pasaran saham di Malaysia memandangkan dana yang diperuntukkan negara itu bakal menentukan hala tuju pemulihan Malaysia. 

 

Apabila kebanyakan Ahli-Ahli Parlimen, malah daripada blok Perikatan Nasional (PN) sendiri memperdebatkan belanjawan itu dengan hangat, ini meletakkan kebimbangan dan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur. 

 

Apatah lagi, sepanjang bulan ini, Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar dana asing terbesar berbanding pasaran-pasaran sedang membangun di Asia Tenggara, dengan Thailand menerima aliran masuk tertinggi. 

 

Menurut Trading Economics, KLCI telah melonjak sebanyak 10 mata atau 0.60% sejak awal tahun 2020. 

 

Pergerakan pasaran kini tertumpu terhadap sentimen pemerintahan kerajaan di Amerika Syarikat (AS), perkembangan vaksin COVID-19 dan peningkatan kes pandemik itu. 

 

Untuk rekod, selain menggulungkan perbahasan RUU Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut mengumumkan beberapa penambahan kepada peruntukan dalam pembentangan Belanjawan 2021 yang lalu. 

 

tengku zafrul

 

Ini termasuk isu yang hangat diperdebatkan iaitu pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperluaskan kepada kategori-kategori pencarum. 

 

Selain itu, Tengku Zafrul turut mencadangkan penambahan jumlah penerima bantuan ‘one-off’ dalam kalangan kakitangan barisan hadapan yang tidak terhad kepada staf Kementerian Kesihatan (KKM), bantuan pesara polis diperluas serta insentif tambahan kepada petani, nelayan darat dan pekebun kecil getah. 

 

Walaupun banyak penambahan dana diberikan, beliau turut mengesahkan peruntukan sebanyak RM85.5 juta yang diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan dikurangkan. - DagangNews.com