Belanjawan 2021 mirip 'beli jiwa politik' - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2021 mirip 'beli jiwa politik' - Penganalisis

Perbahasan mengenai Belanjawan 2021 bermula hari ini di Parlimen. 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Kerajaan dilihat lebih berhati-hati dalam Belanjawan 2021 walaupun ia membabitkan jumlah terbesar setakat ini sebanyak RM322.5 bilion. 

Ini memandangkan kerajaan mahu memastikan segenap lapisan masyarakat memperoleh manfaat daripada peruntukan tersebut terutama dalam menghadapi pandemik COVID-19. 

Namun, penganalisis CGS-CIMB, Michelle Chia berpendapat, pendekatan yang diambil kerajaan lebih bersifat 'membeli jiwa politik' bagi meraih undi pertama dalam perbahasan Belanjawan 2021 pada 25 November ini. 

"Belanjawan 2021 bertujuan untuk menggembirakan orang ramai, satu keperluan memandangkan kerajaan memerlukan sokongan politik yang secukupnya di Parlimen. 

"Keadaan ini menyebabkan pengagihan diukur berdasarkan sokongan fiskal berbanding pendekatan 'Big Bang' yang memberi fokus kepada segmen tertentu.

"Sehubungan itu, kami berpendapat kerajaan lebih mengambil tindakan berhati-hati berbanding secara menyeluruh dalam pengagihan bajet ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Pihak kerajaan atau pembangkang bebas untuk membahaskan Belanjawan 2021 di Parlimen, jika mempunyai sebarang pertikaian mengenainya yang bermula hari ini. 

Ahli Parlimen juga diberi tempoh selama 8 hari untuk membahaskan inti pati Belanjawan 2021 di peringkat dasar manakala 11 hari lagi untuk perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6% KDNK dalam Belanjawan 2021.

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan Jumaat lalu, Kementerian Kewangan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM236.5 billion (73.3%) akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM69 billion atau 21.4% bagi perbelanjaan pembangunan (DE) manakala baki RM17 bilion ialah untuk Kumpulan Wang COVID-19.

Peruntukan OE pada 2021 dianggarkan lebih tinggi iaitu RM236.5 bilion (15.1% daripada KDNK). Jumlah ini meningkat sebanyak 4.3% berbanding anggaran disemak RM226.7 bilion bagi 2020.

Menurut Michelle, dalam belanjawan itu, kumpulan B40 dan M40 merupakan penerima manfaat utama berjumlah RM9 bilion menerusi agihan wang tunai secara terus dan RM18 bilion menerusi langkah penambahan aliran tunai. 

"Manfaat ini termasuklah potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), i-Lestari KWSP dan pengeluaran Akaun 1 KWSP. 

"Selain itu, mereka juga menerima kredit telekomunikasi dan potongan cukai pendapatan 1% bagi pendapatan bercukai RM50,000 hingga RM70,000 termasuk pelepasan cukai bagi perbelanjaan perubatan, gaya hidup, simpanan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan tanggungan orang kurang upaya," katanya. 

Beliau berkata, pada masa sama, Belanjawan ia juga dilihat sebagai garis panduan fiskal kepada agensi penarafan dan pasaran bon. 

Untuk itu, perbelanjaan akan lebih bersasar memandangkan hutang awam kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 60%. 

"Ini bermakna ruang dasar adalah terhad jika mengambil kira ketidaktentuan ekoran pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi pada 2021 yang goyah," jelasnya. 

Mengenai prospek ekonomi tahun hadapan, beliau berkata, unjuran kerajaan untuk mencapai pertumbuhan 6.5 hingga 7.5% adalah sejajar dengan anggaran yang dibuat firma penyelidikan itu berkembang 7.5%. 

Unjuran itu dibuat berdasarkan kemungkinan pandemik COVID-19 semakin beransur pulih dengan risiko rendah perintah kawalan pergerakan yang ketat. 

"Pemulihan ekonomi tahun hadapan akan dipacu oleh peningkatan dalam penggunaan swasta, meningkat 7.1% berbanding -0.7% pada tahun ini, pelaburan meningkat 9.5% (berbanding -11.1% 2020) dan eksport bersih meningkat 4.1% (berbanding -24.9% 2020)," katanya. - DagangNews.com