BELANJAWAN 2021 : Pelbagai inisiatif bantu PKS | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021 : Pelbagai inisiatif bantu PKS

 

 

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Bagi memudahkan akses pembiayaan, kerajaan melalui pakej Prihatin dan Penjana menyediakan dana pinjaman mudah berjumlah RM1.9 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro. 

Bagi menggalakkan perniagaan berstatus mikro dan kecil dalam kalangan bumiputera beranjak ke kategori yang lebih tinggi, SME Bank akan menyediakan kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi dengan dana berjumlah RM300 juta.

Untuk membantu kewangan PKS yang berurusan dalam pembekalan kepada kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC), kerajaan akan memperkenalkan platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional, JanaNiaga yang akan memanfaatkan PKS yang mengalami masalah aliran tunai disebabkan tempoh pembayaran invois yang lama dan membantu PKS untuk mendapat pinjaman daripada institusi kewangan. 

Platform JanaNiaga akan diterajui oleh EXIM Bank dengan penglibatan beberapa institusi kewangan. Sebanyak RM300 juta disediakan oleh EXIM Bank untuk menggerakkan JanaNiaga. 

Buat masa ini, JanaNiaga akan dilaksanakan bersama Petronas dan Telekom Malaysia dan akan diperluaskan kepada kepada GLC lain, kementerian dan agensi-agensi kerajaan pada masa depan.

Di samping itu, kerajaan juga menyediakan pembiayaan secara peer-to-peer (P2P) di bawah seliaan Suruhanjaya
Sekuriti merupakan antara inovasi kewangan alternatif yang telah menjana pembiayaan melebihi RM900 juta kepada PKS.

Bagi menyokong platform P2P terutama berasaskan pembiayaan invois, RM50 juta akan diperuntukkan secara pelaburan padanan.

Seterusnya, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.2 bilion disediakan melalui Tekun, PUNB, Agrobank, BSN dan institusi kewangan lain.

Ini termasuk tambahan sebanyak RM110 juta kepada Micro Enterprises Facility di bawah Bank Negara Malaysia bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan pekerja gig dan yang bekerja sendiri serta menyokong pelaksanaan program iTEKAD.

Malah, program ini akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa agama negeri dan rakan pelaksanaan pada 2021.

Menerusi PUNB pula, sebanyak RM230 juta disediakan sebagai pembiayaan kepada PKS bagi perbelanjaan modal kerja, peningkatan sistem automasi dan peralatan serta perbelanjaan berkaitan pelaksanaan pematuhan SOP COVID-19. - DagangNews.com