BELANJAWAN 2021 : RM1 bilion diperuntuk banteras COVID-19 | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021 : RM1 bilion diperuntuk banteras COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Bagi tahun hadapan, sebanyak RM1 bilion akan diperuntukkan untuk membendung gelombang ketiga COVID-19. 

Peruntukan itu antaranya merangkumi:

Pertama: RM475 juta bagi pembelian bekalan reagen, kit saringan dan bahan guna habis khusus untuk kegunaan Kementerian Kesihatan 

Kedua: RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan hand sanitiser kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan

Ketiga: RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi COVID-19

Keempat: RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti

Kelima: Menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP norma baharu

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan komited untuk mendapatkan sumber vaksin COVID-19 antaranya melalui penyertaan ke dalam program COVID-19 Vaccine Global Access atau COVAX. 

“Dijangkakan, bekalan vaksin COVID-19 melibatkan kos melebihi RM3 bilion untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia. 

“Selain itu, bagi menggalakkan rakyat mendapatkan vaksinasi mencegah penularan penyakit, kerajaan bersetuju untuk meluaskan skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan meliputi perbelanjaan vaksinasi seperti pneumokokal, influenza serta COVID-19. 

“Pelepasan cukai ini diberi ke atas perbelanjaan vaksinasi bagi diri sendiri, pasangan dan anakanak terhad kepada RM1,000,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini. 

Dalam pada itu, kerajaan akan melaksanakan program imunisasi pneumokokal untuk kanak-kanak dengan peruntukan RM90 juta yang dijangka memanfaatkan 500,000 kanak-kanak. 

Selain itu, sebanyak RM6 juta turut diperuntukkan untuk perolehan ubat biologik bagi pelbagai jenis penyakit rheumatologi seperti rheumatoid arthritis. 

Kerajaan juga memperuntukkan RM25 juta bagi program rawatan Peritoneal Dialysis di rumah bertujuan meningkatkan kualiti rawatan pesakit buah pinggang serta mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di hospital. - DagangNews.com