BELANJAWAN 2021: RM7.4 bilion perluas jalur lebar 2021-2022 | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021: RM7.4 bilion perluas jalur lebar 2021-2022

BELANJAWAN 2021

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Menyedari jaringan komunikasi yang dianggap sebagai utiliti ketiga, pembangunan infrastruktur dan penaiktarafan rangkaian dilihat perlu bagi menampung keperluan gaya hidup dan kesalinghubungan digital.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk menjayakan jaringan dan rangkaian berkenaan.

"Kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta bagi tahun 2021 untuk melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara, JENDELA bertujuan memastikan kesalinghubungan sejumlah 430 buah sekolah di seluruh Malaysia meliputi semua negeri.

"Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperuntukkan RM7.4 bilion untuk tahun 2021 dan 2022 bagi memperluas perkhidmatan jalur lebar," jelas beliau dalam sesi pembentangan Belanjawan 2021 hari ini. 

Mengulas lanjut berkaitan isu itu, beliau turut memberitahu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan menyumbang sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK bagi pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 buah sekolah sebagai projek rintis.

Projek yang akan diselia oleh Yayasan Hasanah itu akan dijayakan seiring dengan norma baharu yang menerapkan pembelajaran secara dalam talian. - DagangNews.com