Belanjawan 2022 diharap kekalkan langkah anti penyeludupan 2021 - RTBA Malaysia | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2022 diharap kekalkan langkah anti penyeludupan 2021 - RTBA Malaysia

 

KUALA LUMPUR 17 Sept – Perdagangan rokok seludup di Malaysia dijangka terus meningkat disebabkan kekangan kewangan dan taktik licik penjenayah, dan ini akan merencatkan sebarang pencapaian positif daripada langkah-langkah anti penyeludupan yang diperkenalkan pada Belanjawan 2021, kata badan Advokasi Jenama Runcit dan Dagangan cawangan Malaysia (RTBA Malaysia) dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kenyataan oleh RTBA Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan yang mengawal selia perniagaan daripada perlakuan jenayah, adalah bersempena pelancaran laporannya bertajuk Laporan Negara: Perdagangan Rokok Seludup 2021 Malaysia (Country Report: Illegal Tobacco Trade 2021 Malaysia).

 

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato' Fazli Nordin berkata, laporan tersebut, berdasarkan analisis maklumat awam dan perbincangan dengan sumber-sumber yang rapat dengan isu tersebut, mengenengahkan tahap kelicikan dan tipu muslihat sindiket jenayah untuk melepasi inisiatif anti penyeludupan yang diumum Kerajaan di dalam Belanjawan 2021 dan dilaksanakan pada 1 Januari tahun ini.

 

"Memandangkan aktiviti transhipment terhad, sindiket jenayah segera berubah dengan menyeludup rokok menggunakan kontena kapal dan berlabuh di pelabuhan besar untuk menurunkan produk-produk ini dari kapal kargo besar dari negara sumber ke dalam bot lajut kecil atau bot nelayan sebelum menurunkannya di jeti persendirian dan lokasi penurunan di seluruh perairan negara ini yang luas,’’ kata beliau.

 

Menurut Laporan Negara: Perdagangan Rokok Seludup 2021 Malaysia, pihak berkuasa Malaysia merampas sejumlah 40 juta batang rokok seludup pada 2020 di mana sebanyak 84 juta batang dirampas dari operasi-operasi anti penyeludupan di perairan negara pada suku pertama 2021.

 

Menariknya, laporan itu mendapati sindiket jenayah kini terpaksa menurunkan harga dan kos bagi menampung kerugian bilangan daripada penyeludupan secara kuantiti besar menerusi transhipment di pelabuhan besar sebelum ini, kepada bilangan lebih kecil tetapi dihantar lebih kerap menerusi laluan penyeludupan di pantai-pantai.

 

Disebabkan pertukaran di dalam strategi rantaian pembekalan ini, mereka juga menanggung kos lebih tinggi untuk menggunakan rumah-rumah sewa, lot kedai komersial dan rumah persendirian menjadi gudang penyimpanan produk-produk seludup mereka.

 

Beliau menjelaskan, pertambahan kos tersebut diturunkan kepada pengguna yang kini harus membayar RM9.00 sekotak rokok seludup berbanding RM6.00 sekotak sebelum pengenalan langkah-langkah anti penyeludupan Belanjawan 2021.’’

 

Kos lebih tinggi rokok seludup mungkin kelihatan seolah berita baik bagi usaha memerangi perdagangan haram, tetapi menurut Fazli, kos rokok sah masih jauh mahal.

 

‘’Semakin ramai pengguna dijangka beralih kepada rokok seludup yang masih murah berbanding produk sah disebabkan kekangan kewangan akibat pandemik COVID-19,’’ kata beliau.

 

 

Fazli Nordin RTBA
Dato' Fazli Nordin

 

 

"Melangkah ke hadapan, ia akan menjadi sesuatu yang tidak produktif untuk meningkatkan cukai eksais lagi kerana ia pastinya menguntungkan sindiket jenayah dan menyingkirkan terus kesan positif yang dibawa menerusi langkah-langkah di dalam Belanjawan 2021.

 

Oleh itu, moratorium cukai eksais hendaklah dikekalkan di dalam Belanjawan 2022 sementara lebih banyak dana diperlukan bagi memperkasakan inisiatif-inisiatif penguatkuasaan di kawasan perairan,’’ kata Fazli, memetik saranan-saranan yang digariskan di dalam laporan RTBA Malaysia tersebut.

 

"Penggunaan aset milik persendirian, daripada gudang hinggalah rumah sewa, untuk menyimpan rokok seludup hendaklah juga ditangani. Ia hanya boleh dicapai dengan menjadikan pemilik bangunan atau tanah sebagai pihak bertanggungjawab dan boleh didakwa atas kesalahan menyewa premis mereka untuk tujuan aktiviti jenayah, dan pada masa yang sama, menambah operasi serbuan ke atas premis yang disyaki,’’ ujarnya.

 

Susulan Laporan ini, RTBA Malaysia akan menerajui beberapa siri inisiatif untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai impak dagangan rokok haram ke atas nilai sosio-ekonomi Malaysia.

 

Inisiatif-inisiatif ini termasuk siri artikel pendidikan di dalam akbar, pengumuman awam di radio selain bahan bermaklumat dan Laporan Negara: Perdagangan Rokok Seludup 2021 Malaysia boleh didapati di https://www.facebook.com/rtbamalaysia/ laman Facebook RTBA Malaysia. - DagangNews.com