Belanjawan 2023: Perolehan FA-50, projek LMS Batch 2 rancakkan industri pertahanan negara | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023: Perolehan FA-50, projek LMS Batch 2 rancakkan industri pertahanan negara

Perolehan 18 buah pesawat FA-50 membuka lembaran baharu dalam kerjasama pertahanan Malaysia-Korea Selatan.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 27 Feb - Iklim dalam industri pertahanan negara kembali positif apabila dua perolehan penting yang dinanti-nantikan telah diumumkan di dalam pembentangan Belanjawan 2023, pada 24 Februari lalu.

 

Pertama, ialah kelulusan perolehan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 manakala paling ditunggu ialah pesawat tempur ringan (LCA) apabila FA-50 buatan Korea Selatan menjadi pilihan.

 

Kelulusan perolehan LMS Batch 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diumumkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023.

 

Menurut Perdana Menteri, perolehan LMS akan dilaksanakan pada tahun ini demi mengukuhkan tahap pertahanan dan kawalan maritim negara sepertimana digariskan Kementerian Pertahanan (Mindef).

 

Dalam pengumuman belanjawan, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM17.7 bilion untuk Mindef dengan RM4.1 bilion bagi tujuan pembelian aset baharu dan selenggaraan.

 

 

anwar

 

 

Peruntukan yang dibentangkan ini adalah sedikit tinggi berbanding belanjawan 2023 yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-15 iaitu RM17.37 bilion.

 

LMS merupakan salah satu daripada komponen yang terdapat dalam Pelan Transformasi 15-to-5 TLDM bagi memperkasakan kekuatan armada selain penggantian aset-aset usang.

 

Mantan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany adalah individu yang paling lantang menyuarakan pandangan menyegerakan perolehan kapal-kapal LMS Batch 2 ini.

 

Beliau sepanjang tempoh dua tahun lalu konsisten membawa suara TLDM kepada kerajaan supaya angkatan laut itu diperkasakan agar mampu berhadapan dengan isu-isu yang melibatkan keselamatan maritim.

 

Keperluan TLDM adalah untuk mendapatkan lapan buah LMS Batch 2 dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM6 bilion yang mana tiga kapal melalui fasa pertama.

 

Ketika ini TLDM mengoperasikan empat buah kapal  LMS kelas Keris iaitu KD Keris, KD Sundang, KD Badik dan KD Renong.

 

Kesemua kapal yang dibina syarikat China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) kini menjadi sebahagian daripada kekuatan Markas Pemerintahan Armada Timur di Sabah.

 

Projek LMS Batch 2 telah menarik minat beberapa negara apabila menyatakan hasrat untuk turut serta dengan menawarkan rekaan kapal masing-masing seperti China, Belanda dan Turkiye.

 

 

lms
Kelulusan projek LMS Batch 2 bakal menyaksikan persaingan antara pengeluar kapal-kapal perang global.

 

 

TLDM juga telah menyenarai pendek calon-calon yang dilihat mempunyai ciri-ciri sepertimana dikehendaki sekali gus menunjukkan peluang dalam industri pertahanan Malaysia.

 

Diyakini, kerajaan akan lebih berhati-hati dalam memutuskan penganugerahan kontrak tersebut agar pembinaan kapal dapat disiapkan serta diserahkan kepada TLDM mengikut perancangan.

 

Sudah pasti syarikat yang bakal diberikan kontrak ini mempunyai keupayaan serta infrastruktur, terutama kemudahan limbungan.

 

Ini kerana kemelut dalam menyiapkan kapal tempur pesisir (LCS) yang belum selesai merupakan satu kerugian kepada negara kerana memakan masa panjang.

 

LMS Batch 2 akan dilengkapi dengan sistem persenjataan yang ampuh bagi menangani jurang keupayaan tempur yang dihadapi oleh TLDM iaitu peluru berpandu antikapal, sistem pertahanan udara dan senjata permukaan.

 

Dalam pada itu, Korea Aerospace Industries Co (KAI) terus mengukuhkan status sebagai pengeluar pesawat tempur ringan utama apabila tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi pengguna baharu pesawat FA-50.

 

KAI memenangi perjanjian pesawat bernilai AS$920 juta (RM4.08 bilion) dengan jangkaan pesawat-pesawat ini akan diterima pada tahun 2026.

 

Perjanjian bagi Surat Setuju Terima (SST) telah dimeterai manakala perjanjian sebenar dijangka disempurnakan kedua-dua negara pada Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA 23) Mei ini.

 

 

5

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, Kang Goo Young telah menandatangani SST berkenaan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez Abd Aziz.

 

Majlis menandatangani itu turut dihadiri tetamu tertinggi antara kedua belah termasuk Duta Besar Korea Selatan di Malaysia.

 

Pada Mei tahun lalu, FA-50 dipilih Poland apabila kontrak AS$3 bilion bagi perolehan 36  buah pesawat tempur ringan ini dimeterai bagi tempoh 2024 hingga 2025.

 

Kesemuanya sebanyak 222 pesawat jenis ini telah dioperasikan termasuk versi jet latihan seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Iraq.

 

KAI telah menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan, Kemalak Systems Sdn Bhd yang juga merupakan rakan perunding untuk program 'Industrial Collaborator Partner' atau ICP.

 

Program ICP antara tawaran utama daripada KAI sekiranya FA-50 dipilih dengan mewujudkan fasiliti pemasangan akhir bagi pesawat tersebut di Malaysia.

 

Ini bermakna, buat pertama kali sebuah fasiliti pemasangan akhir pesawat tempur akan diwujudkan yang mana ia dapat meneroka bidang kemahiran baharu.

 

Signifikan juga apabila Ketua Staf Tentera Udara Republik Korea (ROKAF), Jeneral Jung Sanghwa telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Bangunan Parlimen pada Jumaat.

 

 

korea
Jeneral Jung Sanghwa (lima dari kiri) bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (empat dari kanan) dan Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan (tiga dari kanan).

 

5
Ketua Setiausaha Mindef, Dato' Sri Muez Abd Aziz (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, Kang Goo Young semasa menandatangani SST perolehan pesawat FA-50 di Kuala Lumpur.

 

 

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan isu-isu kerjasama pertahanan antara negara khususnya ROKAF dan TUDM.

 

Malaysia dan Korea Selatan komited untuk memperkukuhkan dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara pada peringkat yang lebih tinggi.

 

Apa yang pasti, LIMA 2023 akan menjadi tumpuan bukan sahaja delegasi Korea Selatan tetapi juga pemain-pemain lain dalam industri pertahanan global untuk mengintai peluang. - DagangNews.com