Belanjawan utamakan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan | DagangNews Skip to main content

Belanjawan utamakan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai suatu belanjawan yang mengembang berjumlah RM322.5 bilion dan menyeluruh sesuai dengan keutamaan semasa iaitu demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

 

"Walaubagaimanapun unjuran defisit 5.4% berbanding KDNK adalah lebih rendah berbanding unjuran defisit 6.0% untuk 2020 dan masih dibawah kadar defisit tertinggi 6.4% pada tahun 2009," katanya yang juga pengerusi Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Menurutnya, selain peningkatan siling Kumpulan Wang COVID-19 dan langkah-langkah melindungi kesihatan awam, banyak manfaat diberikan terus kepada rakyat yang memerlukan seperti pengenalan Bantuan Prihatin Rakyat sehingga RM1,800 untuk isu rumah berpendapatan kurang dari RM2,500 sebulan.

 

"Selain itu, ada juga pengurangan cukai 1% bagi julat pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000 dan pengurangan caruman KWSP pekerja daripada 11% kepada 9%,'' ujarnya lagi. 

aaa

Wahid berkata, agenda kelestarian juga tidak dipinggirkan di dalam belanjawan tersebut.

 

"Malah, pelarasan Belanjawan dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 amat bertepatan. Ini termasuklah komitmen mewujudkan Hab Kewangan Lestari dan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk gaya hidup lestari.

 

"Penerbitan Bon Kelestarian untuk pembiayaan projek mesra alam sekitar dan sosial pada 2021 amat dinantikan," kata beliau. - DagangNews.com