KUALA LUMPUR 29 Okt - Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan menjadi penentu dalam usaha kerajaan memulihkan kembali kestabilan negara di mata pelabur dan komuniti perniagaan antarabangsa, demikian menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau menggesa pengundi khususnya golongan belia di negara ini untuk menunaikan hak dan tanggungjawab demokrasi sebagai warganegara untuk mengundi pada 19 November ini, dalam menentukan hala tuju negara seterusnya.
Ini kerana katanya, PRU15 akan mencatatkan satu sejarah kepada negara kerana buat pertama kalinya, rakyat Malaysia berumur 18 hingga 20 tahun akan layak mengundi Parlimen Persekutuan.
"Mengundi adalah sebahagian daripada kewajipan sivik anda kerana anda bertanggungjawab untuk masa depan negara. Pertaruhannya adalah tinggi kerana hasilnya akan memberi kesan kepada pembuatan dasar pada masa depan.
"Pilihan di tangan anda. Adakah anda akan memilih pembuat dasar yang responsif dan bertanggungjawab, di samping turut mengambil pendekatan reformis demi anak-anak anda?.
"Pilihan raya akan datang ini akan menjadi saingan sengit untuk hati dan minda anda, jadi pilihlah dengan bijak kerana setiap undi adalah penting," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Forum Ekonomi Belia 2022 pagi ini bertemakan "Mengemudi haluan positif bagi pembinaan negara dengan ketangkasan, daya tahan dan impak.
Turut hadir, Presiden Alumni Felo Perdana, Mistika Idris dan Pengarah Bersama Forum Ekonomi Belia 2022, Wei Min Jue.
Tengku Zafrul berkata, ekonomi negara kini berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding ketika kemuncak pandemik COVID-19.
"Tindakan berani kerajaan menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, melindungi perniagaan sejak dua setengah tahun yang lalu, membolehkan negara membina daya tahan yang lebih besar dalam ekonomi untuk menghadapi cabaran masa depan terutamanya prospek global yang suram pada 2023," jelasnya.
Sehubungan itu, menurutnya, Bank Dunia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi tahun ini kepada 6.4% berbanding 5.5% sebelum ini.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga, katanya, menyemak semula unjuran kepada 5.4% daripada 5.1% bagi KDNK 2022.
"Malah, kami turut menyemak semula prospek pertumbuhan 2022 daripada 6.5% kepada 7% dalam Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini.
"Kami melihat semua ini sebagai bukti kepada dasar ekonomi dan pengurusan fiskal yang dilaksanakan kerajaan sejak bermulanya pandemik," katanya. - DagangNews.com