Belum dapat kelulusan edar vaksin Sputnik, EPS Duopharma diturunkan 21.6% | DagangNews Skip to main content

Belum dapat kelulusan edar vaksin Sputnik, EPS Duopharma diturunkan 21.6%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Penganalisis menyemak turun harga sasaran (TP) Duopharma Biotech Berhad kepada RM3.16 dengan unjuran perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21) turut diturunkan sebanyak 21.6%. 

 

Ini susulan Duopharma masih belum menerima sebarang kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk mengedarkan vaksin COVID-19 Sputnik V, sehingga penganalisis di CGS-CIMB Research, Syazwan Aiman Sobri menghapuskan sumbangan kewangan daripada perjanjian berkenaan dalam prospek perolehan kumpulan buat masa ini.

 

“Kami juga mengurangkan ramalan margin kasar kami, mendorong kepada pemotongan 13.1% hingga 13.7% dalam unjuran EPS kami bagi FY22 hingga FY23. 

 

“Kelulusan PBKD bagi vaksin COVID-19 Sputnik V dan pelaksanaan seterusnya bagi perjanjian pembekalan vaksin untuk kerajaan itu akan menjadi pemangkin kepada penarafan semula dalam masa terdekat ini. 

 

“Risiko penurunan utama termasuk permintaan eksport dan domestik farmaseutikal yang lebih rendah daripada jangkaan serta kos input lebih tinggi,” kata Syazwan Aiman dalam satu nota kajian.

 

Sebelum ini, Duopharma telah memeterai perjanjian untuk membekalkan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V kepada kerajaan. 

 

Bagi separuh pertama FY21, Duopharma menyaksikan keuntungan bersih utama kumpulan meningkat 3.1% daripada tempoh sama pada tahun lalu kepada RM33.1 juta.

 

Secara keseluruhannya, hasil bagi tempoh berkenaan meningkat 6.6% berbanding tempoh sama tahun lalu, terutamanya dipacu oleh pemulihan dalam jualan sektor awam dan pertumbuhan jualan kukuh bagi segmen penjagaan kesihatan pengguna. 

 

Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) pula kekal stabil pada kadar 19.1% walaupun menyusut 0.2 mata peratusan daripada tahun lalu, didorong oleh kawalan kos yang berhemah walaupun terdapat cabaran logistik yang wujud akibat pandemik COVID-19.

 

Baru-baru ini, PBKD memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 Sinopharm, dengan Duopharma menjadi pemegang pendaftar. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Duopharma. - DagangNews.com