Benarkah Gen Z, Milenial tidak beradab, cepat `koyak’, mudah terpengaruh dakyah di media sosial? | DagangNews Skip to main content

Benarkah Gen Z, Milenial tidak beradab, cepat `koyak’, mudah terpengaruh dakyah di media sosial?

Ketahanan jati diri, mental dan emosi mereka tidak teguh kerana mereka mudah ‘koyak’ lebih mudah terasa, sentap. - Gambar hiasan
Oleh NORAZLINDA MOHAMMAD

Umum kita ketahui generasi baharu yang dipelopori oleh Generasi Milenial dan Z merupakan golongan yang suka menggunakan gajet, telefon pintar dan media sosial di dalam kehidupan mereka seharian. 

 

Berdasarkan Pew Research Centre mentakrifkan generasi milenial merupakan individu yang lahir antara tahun 1981 hingga 1996.  Milenial paling tua berusia 43 tahun manakala yang paling muda 27 tahun.  Generasi Z pula adalah golongan yang lahir pada tahun 1997-2010.

 

Dua generasi ini dianggap manja dan terlalu bergantung kepada gajet dan halaman media sosial. 

 

Mereka juga lebih cenderung  mendapatkan maklumat dengan jalan singkat, melayari aplikasi sosial seperti Twiiter, Instagram, Telegram, TikTok, YouTube berbanding membaca akhbar atau menonton berita di televisyen. 

 

Kehidupan mereka tidak lekang dengan gajet dan telefon pintar.  Usah berada di dalam kepompong siber tanpa mengetahui dunia sebenar di luar sana. 

 

 

parafrasa

 

 

Realitinya, mereka hanya kalut dengan dunia pempengaruh, kandungan tular seolah-olah itulah kehidupan sebenar sedangkan itu hanya kehidupan yang dilakonkan semata-mata. 

 

Pendek kata, urusan makan, membeli-belah, bergerak dan bekerja dilakukan dengan bantuan teknologi atau kecerdasan buatan (AI) sahaja tanpa menggunakan kemahiran kognitif pemikiran iaitu berfikir.  Tidak hairanlah pendirian mereka mudah dipengaruh.

 

Generasi tiada adab

Apa yang menyedihkan, generasi baharu ini juga kurang penyemaian adab, etika kerja dan hormat kepada orang yang lebih tua kerana kebebasan menyatakan pendapat mereka, radikal dengan membantah tanpa memikirkan kesan daripada perbuatan itu. 

 

Fenomena mengajar generasi Milenial dan Z sangat berbeza dibandingkan dengan mengajar generasi terdahulu kerana terdapat perbezaan cara komunikasi, pembawaan diri dan perlakuan mereka di dalam bilik kuliah. 

 

Mereka lebih berani tanpa segan silu menyatakan kepada pendidik bertanya, “Makan tengahari di mana, belanja la makan.” Ada pula soalan yang di luar ruang kuliah, “Pakai make-up apa dan beli baju, kasut di mana?

 

 Jarak antara pelajar dan pendidik dicerobohi tanpa ada rasa adab atau bersalah. Sepatutnya soalan ditanyakan berkenaan tugasan kuliah bukan bertanyakan soalan peribadi yang tidak formal kepada pendidik. 

 

Pendidik perlu memantau sikap, perlakuan pelajar serta menasihati mereka akan kepetingan perilaku adab dan integriti di dalam menuntut ilmu bagi menjamin keberkatan ilmu di dada.

 

 

parafrasa

 

 

Isu dan Cabaran mendidik golongan generasi Milenial dan Z

Sebahagian tenaga pengajar tidak kira guru atau pensyarah di masa kini mempunyai pengalaman mengajar golongan generasi Milenial dan Z. 

 

Kebanyakannya berpendapat golongan ini kurang mempunyai adab dan tatasusila dan mereka mudah ‘sentap’ dan buat muka jika ditegur. 

 

Mereka kurang kesedaran dan lebih suka protes atau mengutarakan secara terbuka jika tidak berpuas hati dengan bahasa yang keras demi paksi kebebasan bersuara tanpa memikirkan perasaan orang lain.  Hakikatnya, tiada lagi bahasa berkias atau bertapis digunakan demi menjaga hati dan perasaan.

 

Selain itu, golongan ini juga kurang merujuk atau bertanya kepada pendidik serta kurang mempunyai etika kerja kerana menyifatkan diri sudah bagus dan tidak perlu bertanya pada orang lain. 

 

Pepatah Melayu ada menyebut: malu bertanya, sesat di jalan. Terdapat senario mereka yang sudah bekerja tidak merujuk pada pakar rujuk atau pekerja yang lebih berpengalaman (senior) dan akhirnya hasil kerja tidak menepati piawaian dan merugikan organisasi. 

 

Malah ada pula perlu disuap dan dipandu sentiasa akibat kurangnya pendedahan, pengetahuan dan malas berusaha.

 

Ketahanan jati diri, mental dan emosi mereka tidak teguh kerana mereka mudah ‘koyak’ lebih mudah terasa, sentap, membuat muka jika ditegur berbanding generasi terdahulu. 

 

Menerusi satu perkongsian di media sosial seorang pekerja muda dilaporkan tidak dapat meneruskan pekerjaan di sebuah syarikat atas alasan ketiadaan komputer.

 

 

parafrasa

 

 

Malah terdapat beberapa perkongsian di media sosial tentang seorang majikan meluahkan rasa kecewanya selepas berurusan dengan pelajar praktikal di firma miliknya. 

 

Pelajar berkenaan terus mengambil keputusan berhenti setelah ditegur.  Persoalannya apakah generasi baharu sekarang sangat lemah, mudah sentap dan sentiasa memberi alasan bagi melepaskan diri dari masalah?

 

Inilah dilema yang dihadapi oleh sebahagian majikan apabila menerima pelajar atau pekerja yang dipelopori generasi baharu yang lemah, dangkal dan lembik di dalam menghadapi cabaran tugasan. 

 

Ini belum lagi isu generasi baharu yang mahukan fleksibili bekerja dan tidak mahu bekerja lebih masa.  Di mana ketahanan diri golongan ini yang tidak mahu bekerja lebih tapi hanya mahu kerja senang dengan pendapatan lumayan. 

 

Adakah kerana ibu bapa mereka terlalu memanjakan anak sehingga lupa mengajar anak untuk berusaha, berdikari dan menyelesaikan masalah dengan bijak atau hanya berupaya memberikan alasan picisan sebagai jalan keluar (escapism).

 

Betapa rapuhnya generasi baharu yang tidak tahan lasak dan hanya tahu mengeluh.

 

Menurut seorang guru kaunseling, Abdul Muiez Ruslee yang menjalankan kajian ke atas anak-anak, beliau menyifatkan generasi sekarang cukup rapuh, mudah kemurungan, kekuatan mental lemah sehinggakan ada yang menghadapi anxiety atau keresahan yang melampau dan dahagakan perhatian. 

 

Persekitaran yang mendidik mereka serta kurang komunikasi bersama keluarga akibat terlalu taksub dengan gajet dan media sosial merupakan faktor kepada kepincangan adab dan tatasusila di dalam berkomunikasi atau berhadapan dengan masyarakat sekeliling serta orang luar.

 

Anak-anak ibarat kain putih yang bersih. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua-dua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat Bukhari 1385) 

 

Ibrahnya, ibu bapa harus memberi bimbingan agama dan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak bagi membentuk keperibadian dan jati diri yang baik.

 

Pemerkasaan adab, disiplin, amanah, tanggungjawab, ketekunan perlu selari dengan ilmu yang mereka pelajari di universiti kerana sikap yang diamalkan akan dibawa bersama serta mencerminkan jati diri dan peribadi mereka ketika mereka melangkah ke dunia pekerjaan.  Inilah cabaran sebenar yang menanti mereka selepas graduat.

 

 

parafrasa

 

 

Tuntasnya, generasi muda perlu peka, berusaha, berfikiran terbuka, memiliki jiwa cekal, mental yang teguh bagi menghadapi cabaran dan masa hadapan. 

 

Sentiasa merancang dan pandang ke hadapan dengan perancangan yang jitu agar bersemangat juang, mantap sahsiah peradaban diri dan tidak mundur. 

 

Ini bagi memastikan mereka bersedia, berakauntabiliti di dalam menerima arahan tugasan yang dimanahkan.  Kombinasi adab, ilmu, takwa dan integriti perlu disemai di sanubari sekarang. - DagangNews.com

 

Norazlinda Hj Mohammad adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka