Berbaloi atau tidak TUDM dapatkan Hornet terpakai Kuwait, atau lebih baik beli pesawat baharu? | DagangNews Skip to main content

Berbaloi atau tidak TUDM dapatkan Hornet terpakai Kuwait, atau lebih baik beli pesawat baharu?

Pesawat F/A-18 Hornet milik TUDM
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

MULA diperkatakan sejak tujuh tahun lalu, kini cadangan supaya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapatkan pesawat pejuang F/A-18 Hornet dari Kuwait timbul kembali.

 

Terbaharu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan mengesahkan pihaknya akan menghantar pasukan ke negara Teluk itu bagi maksud tersebut.

 

Tidak dinyatakan secara spesifik tetapi difahamkan TUDM akan menubuhkan satu kumpulan teknikal untuk dihantar ke Kuwait bagi melakukan tinjauan.

 

 

Hanya selepas lawatan itu barulah kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dan TUDM akan memutuskan bilangan pesawat Hornet yang ingin diperoleh.

 

Pesawat
Kuwait akan menghentikan khidmat pesawat Hornet dengan jet pejuang lebih moden .

​​​

 

Mengapa pesawat Hornet Kuwait menjadi pilihan TUDM?

 

Kuwait mengoperasikan 40 buah pesawat F/A-18 Hornet pada 1994 meliputi varian C (satu tempat duduk) dan D (dua tempat duduk) manakala TUDM memiliki lapan Hornet varian D yang diterima pada 1997.

 

Berbanding Hornet TUDM, pesawat milik Kuwait lebih berusia manakala corak operasinya di negara padang pasir juga berbeza dengan iklim di Malaysia.

 

Pada 2015, Kuwait memutuskan membeli 32 buah pesawat F/A-18F Super Hornet bagi menggantikan skuadron Hornet sedia ada.

 

Selain Super Hornet, Kuwait juga bakal menerima 28 pesawat tempur Dassault Rafale buatan Perancis.

 

Pesawat
Pesawat Hornet Kuwait lebih berusia berbanding milik TUDM.

 

Disebabkan itu, timbul cadangan agar TUDM mendapatkan pesawat-pesawat terpakai Kuwait bagi menggandakan kekuatan skuadron Hornet TUDM.

 

Ini berikutan TUDM telah menamatkan khidmat pesawat-pesawat MiG-29N dan masih belum memutuskan calon pesawat pengganti.

 

Mengikut perancangan, program pesawat pejuang pelbagai peranan (MRCA) TUDM iaitu pengganti MiG-29N ini akan dibuat pada 2035 dan sehingga tempoh itu khidmat Hornet akan diteruskan.

 

Bagaimana pun, sehingga tahun 2022 tiada kata putus tentang cadangan ini berikutan kerajaan Kuwait dikatakan tidak memberikan sebarang komitmen.

 

Perolehan dirancang itu membabitkan 33 pesawat F/A-18C/D Kuwait yang masih mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM.

 

Pesawat
Malaysia membeli 8 pesawat Hornet D yang digunakan pada 1997.

 

Pesawat

 

Mungkin hanya sebahagian akan digunakan manakala selebihnya dijadikan sebagai alat ganti.

 

Sekiranya perkara ini berhasil, ada harapan untuk melihat pertambahan kuantiti pada aset-aset TUDM sepertimana diharapkan.

 

Sepanjang dioperasikan TUDM sejak 20 tahun lalu sebagai pesawat pejuang dan serangan, Hornet merupakan pesawat yang baik dengan rekod sifar kemalangan.

 

Pada masa sama Kuwait dikatakan ingin melanjutkan tempoh operasi Hornet berikutan ada kelewatan pada penghantaran pesawat tempur baharu yang sepatutnya diterima.

 

Selain Malaysia, pesawat Hornet Kuwait turut diintai pihak lain antaranya Tunisia.

 

Pesawat
Malaysia pernah ditawarkan pesawat F/A-18EF Super Hornet tetapi tidak meneruskan rancangan perolehanan atas alasan kewangan.

 

Sepertimana diketahui umum, sebarang penjualan kelengkapan atau persenjataan buatan Amerika Syarikat walaupun dimiliki negara lain mestilah terlebih dahulu mendapat lampu hijau Washington.

 

Ini kerana sesuatu perolehan walaupun melibatkan platform atau aset terpakai, ia tidaklah semudah difikirkan.

 

Faktor politik, kos, hubungan strategik antara negara, kemampuan dan beban logistik serta pelbagai lagi perlu diambil kira. 

 

Dalam situasi ini, ada kemungkinan Amerika Syarikat telah memberi restu kepada Kuwait untuk melepaskan pesawat-pesawat Hornet terpakai ini kepada negara sekutu seperti Malaysia kerana jika tidak usaha mendapatkan pesawat ini sukar.

 

Memperoleh pesawat terpakai boleh dianggap jalan pintas terpantas untuk memenuhi kuota operasi jumlah pesawat tempur dalam inventori TUDM, tapi apakah ia jalan yang terbaik? 

 

Pesawat
TUDM bakal menerima 18 pesawat tempur ringan dwifungsi FA-50 dua tahun lagi.

 

Pesawat
Membeli pesawat pejuang baharu seperti Saab Gripen adalah lebih berbaloi untuk jangka masa panjang berbanding mendapatkan pesawat terpakai.

 

Mengulas perkara ini, penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, timbul persoalan adakah membeli pesawat lama berbaloi untuk memenuhi keperluan sementara menantikan pesawat terkini.

 

Katanya, apa yang perlu dilihat sebenarnya ialah apakah tahap ancaman yang dimiliki musuh dan perlu diatasi. 

 

“Tentunya perolehan versi pesawat lama, apa lagi yang terpakai tidak akan memberikan lonjakan hakiki kepada kesiagaan serta kuasa tempur TUDM sekiranya terpanggil untuk mempertahan ruang angkasa dan kedaulatan negara. 

 

“Mengambil iktibar bahawa kali terakhir TUDM memperolehi pesawat terpakai ialah pada 1984 dengan pesawat A-4 PTM Skyhawk milik Amerika Syarikat dan tempoh perkhidmatannya hanya bertahan sehingga 10 tahun. 

 

Pesawat
Pesawat A-4A PTM Skyhawk.

 

"Beberapa pesawat Skyhawk juga terbabit dalam nahas.

 

“Pada 1994 keseluruhan pesawat telah ditarik balik dari perkhidmatan, manakala pesawat baru MiG-29N (diperoleh 1995) dan F/A-18D Hornet (diperoleh 1997) beroperasi sehingga 20 tahun,” ujarnya.

 

Jelas Muhammad Fuad lagi, adalah tidak berbaloi untuk membeli pesawat-pesawat versi lama sekiranya pesawat versi baharu yang ada di pasaran lebih berkemampuan selain mempunyai teknologi mutakhir. - DagangNews.com