Berdepan PKP COVID-19, pemuda usahakan kebun nanas ibu bapa di Tuaran | DagangNews Skip to main content

Berdepan PKP COVID-19, pemuda usahakan kebun nanas ibu bapa di Tuaran

Denis Francis memasukkan hasil buah nanas dari kebun keluarganya di Kiulu untuk dijual di pekan Tuaran.

 

Oleh DOMINIC GERARD JOSEPH
editor@dagangnews.com

 

 

KOTA KINABALU 6 Sept – Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai insentif bantuan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan semasa pandemik COVID-19,  seorang pemuda membantu ibu bapanya mengusahakan penanaman nanas seluas 2.42 hektar atau 6 ekar di Kiulu, Tuaran kira-kira 32 kilometer dari ibu negeri Sabah ini.

 

Denis Francis memberitahu, walaupun tidak seberapa tetapi kebun nanas milik ibu bapanya tetap mendatangkan hasil yang baik dan boleh menampung kehidupan keluarganya terutama semasa pandemik ini.

 

"Saya mesti memastikan keluarga saya dijaga dengan baik dan dua anak saya mendapat pendidikan sebaik mungkin.

 

''Saya bukan jenis orang yang menunggu bantuan dari kerajaan. Saya akan terus berusaha dan cuba sedaya upaya untuk mengatasi segala cabaran dan rintangan," katanya kepada DagangNews.com baru-baru ini.

 

Menurut Denis yang merupakan dari kumpulan etnik Kadazandusun, mereka sekeluarga hanya berjalan kaki kira-kira 3km dari kampung menuju ke kebun nanas. 

 

Bila waktu buah masak, kata beliau, mereka menggunakan alat tradisional seperti `Bakul Sikut’ untuk membawa keluar buah-buahan dari kebun disebabkan tiada laluan kenderaan bermotor.

 

bakut sikut
            Bakul Sikut

 

 

Denis berkata, pekebun kecil seperti dirinya, mesti tabah dan cekal kerana yang penting ialah usaha harian mesti konsisten.

 

"Malaysia adalah negara yang mempunyai banyak peluang untuk seseorang itu berjaya jika mereka berusaha.

 

‘’Sekiranya seseorang bersedia melipat lengan baju dan turun bekerja, maka tidak wujud komuniti yang ketinggalan. Tentunya satu nilai baik yang patut dipupuk adalah sentiasa bekerja keras," katanya.

 

Denis juga menggalakkan pemuda-pemuda untuk menceburi diri dalam sektor pertanian kerana terbukti ia merupakan sektor yang diklasifikasi `dibolehkan’ ketika perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan. – DagangNews.com