Berjaya Corporation lupus 4.89% pegangan dalam Redtone berharga RM27.6 juta | DagangNews Skip to main content

Berjaya Corporation lupus 4.89% pegangan dalam Redtone berharga RM27.6 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Berjaya Corporation Berhad melupuskan 4.89% pegangan atau 37.8 juta saham dalam Redtone Digital Berhad melalui urus niaga perniagaan langsung pada harga RM27.59 juta atau 73 sen sesaham.

 

Berikutan penjualan itu, Berjaya Corporation memberitahu Bursa Malaysia bahawa pegangan saham kumpulan dan anak syarikatnya dalam Redtone kini berada pada 42.57% atau 329.06 juta saham.

 

Kumplan itu berkata, pelupusan itu dilakukan oleh anak syarikat milik penuhnya Juara Sejati Sdn. Bhd. Bagaimanapun mereka tidak mendedahkan pembeli.

 

Pemegang saham utama Redtone yang lain ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dengan 17.34% kepentingan.

 

Harga saham Redtone melonjak sebanyak 10.2% atau 7.5 sen pada hari Selasa untuk ditutup pada 81 sen, dengan lonjakan mendadak dalam jumlah dagangan kepada 7.41 juta saham, atau lebih empat kali ganda jumlah dagangan purata dua bulannya sebanyak 1.61 juta saham.

 

Redtone mengendalikan tiga segmen perniagaan, iaitu perkhidmatan telekomunikasi yang terdiri daripada data, panggilan dan perkhidmatan terurus, kepada kerajaan dan perusahaan; pembangunan, operasi dan penyelenggaraan infrastruktur kejuruteraan telekomunikasi di bawah segmen perkhidmatan rangkaian telekomunikasi terurus (MTNS); serta perkhidmatan awan dan internet kebendaan (IoT).

 

Prestasi syarikat meningkat dengan ketara dalam tempoh tiga tahun kewangan lepas, daripada mencapai keuntungan bersih RM6.76 juta pada tahun berakhir 30 Jun 2020 (FY20) kepada RM60.84 juta pada FY23.

 

FY23 menyaksikan prestasi kumpulan meningkat 56.5% daripada RM38.87 juta, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam keuntungan operasi, dan ini disebabkan oleh keuntungan lebih 300% dalam pendapatan berkaitan pelaburan kepada RM27.21 juta, daripada RM5.47 juta pada FY22.

 

Hasil setahun penuh meningkat 37.83% kepada RM217.82 juta berbanding RM158.04 juta, berikutan peningkatan perolehan daripada segmen telekomunikasi dan MTNS.

 

Kumpulan itu berkata, pelupusan itu membolehkannya merealisasikan sebahagian daripada pelaburannya dalam Redtone, dan hasil tunai yang diperoleh daripada penjualan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman dan untuk tujuan modal kerjanya. - DagangNews.com