BERNAS bangunkan 4 lokasi SMART Sawah Berskala Besar, unjur lonjakan hasil hingga 60% | DagangNews Skip to main content

BERNAS bangunkan 4 lokasi SMART Sawah Berskala Besar, unjur lonjakan hasil hingga 60%

BERNAS bangunkan 4 lokasi SMART Sawah Berskala Besar

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menerusi program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) terus komited dalam merangka hala tuju strategik bagi memperkasakan industri padi dan beras negara.

 

BERNAS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyasarkan kawasan-kawasan yang mempunyai produktiviti rendah dengan mengunjurkan lonjakan hasil antara 40% hingga 60% semusim.

 

"Empat kawasan sawah yang berpotensi telah dikenalpasti iaitu Batang Lupar, Sarawak; Sungai Batu Pahat, Perlis; Setiu Terengganu dan Kampung Kulambai, Kota Belud di Sabah," jelas BERNAS.

 

SMART SBB merupakan program kolaborasi di antara BERNAS dan agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri, Pertubuhan Peladang Kawasan, MADA, KADA, IADA dan lain-lain. 

 

Program tersebut juga seiring dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara iaitu sebanyak 75%.

 

Dalam pada itu, program berkenaan adalah salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) MAFI bagi menyatukan tanah sawah untuk membentuk satu sistem pengurusan ladang berpusat.

 

Sistem berpusat itu dilihat dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada serta meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi negara.

 

BERNAS turut melaksanakan SMART SBB bersama Pengilang Bumiputera seperti program di antara BERNAS dan Kilang Beras Dibuk di Perlis.

 

Tambah BERNAS lagi, pihaknya bekerjasama dengan hampir 200 pesawah yang didedahkan dengan teknik serta amalan pertanian baik bagi menguruskan sawah berskala besar.

 

Penggunaan mekanisasi dan teknologi terkini atau Internet of Things (IoT) yang dilihat dapat memudahkan kerja-kerja ladang akan turut diperkenalkan kepada warga tani bagi mewujudkan sistem pertanian yang lebih terancang.

 

"Ini sekali gus dapat menjimatkan kos penanaman secara menyeluruh, selain membantu pesawah memperolehi hasil tuaian yang baik.

 

"Penglibatan pesawah yang merupakan elemen terpenting dalam program ini turut menunjukkan angka yang memberangsangkan.

 

"Mereka amat komited serta berdisiplin dalam mengikuti Jadual Kerja Ladang yang telah ditetapkan bagi mendapatkan kadar hasil dan mutu padi yang lebih berkualiti," ujar BERNAS lagi. - DagangNews.com