BHB umum penyenaraian Bank Islam  | DagangNews Skip to main content

BHB umum penyenaraian Bank Islam 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Dis. - BIMB Holdings Berhad (BHB) akan memindahkan status penyenaraiannya kepada anak syarikatnya, Bank Islam Malaysia Berhad.

 

Langkah itu dibuat bagi meneruskan usaha penstrukturan semula kumpulannya yang akan membuka nilai signifikan bagi pemegang saham.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia Securities Berhad hari ini, BHB berkata, pihaknya telah mendapat persetujuan dari Menteri Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung cadangan penyusunan semula dalaman dan agihan serta pembayaran balik modal.

 

Katanya, setelah cadangan pelaksanaan tersebut dimuktamadkan, status penyenaraian BHB akan dipindahkan ke Bank Islam, yang akan muncul sebagai satu-satunya institusi kewangan Islam lengkap yang tersenarai di rantau ini sekali gus meningkatkan kedudukan korporatnya.

 

"Penyenaraian ini akan membolehkan Bank Islam memperkukuh kedudukannya dalam pasaran kewangan dan pasaran modal Islam dengan lebih baik dan memanfaatkan pertumbuhannya dalam usaha mengembangkan asas pelanggannya," katanya. 

 

Penasihat utama untuk cadangan pelaksanaan ini adalah Maybank IB.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BHB, Mohd Muazzam Mohamed pada April lalu dilaporkan berkata, pemindahan status penyenaraian itu yang sepatutnya dilaksanakan pada Ogos terpaksa ditangguhkan pada suku akhir tahun ini atau suku pertama 2021 susulan krisis pandemik COVID-19. 

 

Pada 11 Disember 2019, BHB telah mengemukakan beberapa cadangan penstrukturannya dan langkah pemindahan status penyenaraian ini telah dilakukan empat tahun lalu, yang kemungkinan melibatkan pertukaran saham. 

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, keuntungan bersih BHB susut 35% kepada RM135.81 juta berbanding RM208.38 juta bagi tempoh sama tahun lalu. Hasil juga susut kepada RM1.33 bilion daripada RM1.38 bilion. 

 

Keuntungan sebelum zakat dan cukai Bank Islam susut 34% tahun ke tahun kepada RM137.3 juta manakala keuntungan sebelum zakat dan cukai Takaful Malaysia turun 20% kepada RM97.8 juta.

 

Prestasi syarikat pegangan Lembaga Tabung Haji itu bergantung kepada dua anak syarikat utamanya iaitu Bank Islam dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd. - DagangNews.com