Bilangan jawatan kosong diiklankan dalam talian pada suku keempat 2023 meningkat 32.5% - DOSM | DagangNews Skip to main content

Bilangan jawatan kosong diiklankan dalam talian pada suku keempat 2023 meningkat 32.5% - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - Bilangan kekosongan jawatan diiklankan dalam talian pada suku keempat 2023 merekodkan peningkatan sebanyak 32.5% dengan 448,181 kekosongan berbanding 338,305 kekosongan pada suku ketiga tahun sama, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada suku tersebut, terdapat sebanyak 85,814 pertubuhan yang menawarkan kekosongan jawatan berbanding 77,499 pertubuhan yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya bagi tahun sama. 

 

Beliau berkata, berdasarkan perbandingan tahun ke tahun, bilangan kekosongan jawatan mencatatkan pertumbuhan tiga digit iaitu 119.2% berbanding 77.9% pada suku ketiga 2023. 

 

"Pada bulanan suku keempat 2023, kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian yang tertinggi adalah pada bulan Disember 2023 iaitu sebanyak 172,777 kekosongan. 

 

"Sementara itu, terdapat 137,449 dan 137,955 kekosongan pada bulan Oktober dan November 2023," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Mohd Uzir berkata, bagi kekosongan jawatan diiklankan dalam talian berdasarkan kategori pekerjaan, hampir separuh daripada kekosongan jawatan tertumpu dalam bidang profesional dengan 48.9% atau 218,947 kekosongan pada suku tahun keempat tahun lalu. 

 

Beliau berkata, ia diikuti oleh 18.5% (82,950) bagi kategori pengurus manakala juruteknik dan profesional bersekutu menyumbang 17% (76,284).

 

"Pecahan selanjutnya mengikut pekerjaan popular pada suku tahun tersebut, terdapat permintaan yang lebih tinggi untuk bidang profesional pengiklanan & pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan & ketua eksekutif, akauntan & juruaudit serta pembangunan perisian," katanya.

 

Beliau berkata, bagi kekosongan jawatan mengikut sektor ekonomi, kebanyakan kekosongan jawatan pada suku tahu keempat 2023 adalah dalam sektor perkhidmatan dengan 50.9% atau 228,148 kekosongan. 

 

Katanya, melihat kepada kekosongan jawatan mengikut aktiviti ekonomi, perdagangan borong dan runcit mendominasi kekosongan dengan 15.9% atau 71,154 pekerjaan.

 

Pembuatan merekodkan sejumlah 32,976 kekosongan (7.4%), diikuti oleh aktiviti pentadbiran & khidmat sokongan sebanyak 32,113 kekosongan (7.2%) dan aktiviti profesional, saintifik & teknikal dengan 27,757 kekosongan (6.2%). 

 

"Pekerjaan popular yang ditawarkan dalam kategori Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ialah pekerjaan profesional pengiklanan dan pemasaran yang mencatatkan bilangan kekosongan jawatan tertinggi (33,079), diikuti oleh profesional bersekutu pentadbiran (20,240) dan jurutera perisian (12,318)," katanya.

 

Mohd Uzir berkata, bagi kategori Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), tiga pekerjaan utama ialah pengurus projek (4,662), jurutera perisian (3,571) dan juruteknik (3,084).

 

Sementara itu, pekerjaan dengan permintaan tertinggi bagi Senarai Pekerjaan Kritikal/ Critical Occupation List (COL) ialah profesional pengiklanan & pemasaran (33,079), pengarah urusan & ketua eksekutif (19,266) serta akauntan & juruaudit (18,025).

 

Mengenai kekosongan jawatan diiklankan dalam talian di peringkat negeri, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kekosongan jawatan tertinggi iaitu 81,574 atau 18.2%, manakala negeri lain yang mempunyai kekosongan jawatan yang tinggi ialah Selangor dengan 43,673 (9.7%), diikuti Johor sebanyak 19,822 (4.4%).

 

Sementara itu, Perlis merekodkan kekosongan terendah iaitu hanya 79 kekosongan jawatan saja. - DagangNews.com